- Iklan -
Berita

Anwar beritahu saya dia tidak mampu kawal ‘budak-budak jahatnya’, kata Mahathir

Bekas perdana menteri memberikan sedikit bayangan mengenai pertemuan peribadi dengan lelaki yang dinamakan untuk menggantikan tempatnya.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dalam salah satu lawatannya berjumpa dengan  Dr Mahathir Mohamad pada 2019. Mahathir mengatakan Anwar telah memberitahunya bahawa dia tidak dapat mengawal pengikut setianya yang mendesak peralihan kuasa dilakukan.
Anwar Ibrahim dalam salah satu lawatannya berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad pada 2019. Mahathir mengatakan Anwar telah memberitahunya bahawa dia tidak dapat mengawal pengikut setianya yang mendesak peralihan kuasa dilakukan.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memberikan sedikit bayangan mengenai pertemuan peribadi dengan lelaki yang dinamakan untuk menggantikan tempatnya.

Mahathir berkata Anwar Ibrahim gagal secara terbuka menunjukkan sokongan kepadanya sebagai perdana menteri berikutan pembebasan pemimpin PKR itu dari penjara selepas pilihan raya umum 2018.

“Sebaliknya, dia sibuk bertemu dengan raja-raja, dan semuanya tak nampak seolah-olah menyokong saya,” kata bekas perdana menteri yang peletakan jawatannya menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu dalam satu wawancara secara langsung dengan akhbar Sinar Harian.

Beliau sebaliknya mengatakan, Anwar hanya menyatakan sokongan kepadanya secara peribadi apabila kedua-dua mereka bertemu.

“Dia kata budak-budak dia ‘jahat’ dan tak boleh nak control. Itu alasan dia,” kata Mahathir, merujuk kepada pengikut setia Anwar yang mendesak peralihan kuasa sebelum kerajaan PH tumbang.

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri selepas kejayaan PH pada pilihan raya 2018, dan di bawah perjanjian antara pucuk pimpinan tertinggi parti yang mana telah bersetuju bahawa beliau kemudian akan menyerahkan jawatan kepada Anwar, yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwat.

Mahathir yang sebelum ini dilihat sering mempertahankan tindakannya melambat-lambatkan penyerahan jawatan tertinggi itu kepada Anwar, mengatakan beliau memang mempunyai niat meletakkan jawatan bagi menepati janjinya itu.

“Janji parti Pakatan Harapan ialah saya jadi perdana menteri untuk sekian lama tak ada mention berapa lama, lepas itu Datuk Seri Anwar.

“Saya dapati kerja-kerja yang perlu dibuat masih banyak, ada lagi yang saya perlu buat jadi saya tak boleh menentukan bila saya letak jawatan, tapi saya berniat nak letak jawatan. Saya tak akan mungkir janji jadi perdana menteri sampai Pilihan Raya Umum ke 15.

“Tapi orang-orang Anwar ini macam-macam kata pada saya, maki saya suruh saya berhenti, ada puak ekstremis,” kata Mahathir.

Mahathir mengatakan beliau memutuskan untuk membiarkan penyokong pro-Anwar berkata apa jua terhadapnya kerana ada banyak perkara lain yang perlu dilakukan, dan menambah beliau merancang pelbagai program bagi membangunkan ekonomi dan meningkatkan sistem pendidikan.

“Saya bukan nak pegang perdana menteri itu sampai mati. Saya nak letak jawatan tapi tunggu la sat,” katanya.

Mahathir juga turut mengulangi penafiannya berhubung dakwaan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Thomas, dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” mendakwa Mahathir selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri, memberitahunya bahawa Agong ingin melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan tempatnya.

“Dia kata saya bagitau kat dia. Saya tak boleh nak bagitau benda tu, tak benar sama sekali.

“Tak munasabah benda tu. Bila saya jumpa dengan dia, dia kata saya bagitau dia. Saya tak boleh bagitau benda yang tak jadi.”

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim selepas diminta oleh Agong, sehingga Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac 2020.

Sementara itu, Mahathir mengatakan Muhyiddin berjaya mengekalkan kuasa walaupun hanya ada majoriti tipis kerana mereka yang menentangnya secara politik turut terdedah jika menarik sokongan kepada kerajaan.

Beliau kemudian memberikan contoh bekas perdana menteri yang juga ahli Parlimen Pekan, Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan pengkritik utama terhadap kerajaan Muhyiddin.

“Dia (Muhyiddin) mempunyai kelebihan cuma dua atau tiga majoriti, jadi kalau tiga orang berhenti dia jatuh.

“Tetapi kalau tiga orang ini berhenti, tiga orang ini juga jatuh.

“Katalah Datuk Seri Najib kalau dia marah kat Muhyiddin, Zahid marah kat Muhyiddin mereka letak jawatan, mereka juga jatuh, bukan sahaja Muhyiddin, tetapi mereka tak nak jatuh, mereka nak jadi kerajaan.”

‘Penyesalan besar saya’

Mahathir dalam wawancara itu mengatakan perkara yang paling disesali sepanjang karier politiknya ialah ketika meletak jawatan selepas 22 tahun berkuasa pada 2003, ketika penggal pertama sebagai perdana menteri.

Tetapi ketika ditanya adalah beliau turut menyesal selepas sekali lagi meletak jawatan pada 2020, dia mengatakan ia kerana dirinya tidak mempunyai sebarang pilihan.

“Yang ini saya terpaksa letak jawatan, parti saya dah jatuh,” katanya.

Beliau juga mengatakan tidak terganggu dengan bagaimana dirinya akan dinilai.

“Belum kita meninggal, semua orang kata macam-macam kepada saya. Bagi saya itu politik.”

Pada penghujung wawancara, Mahathir dalam nada sebak mengatakan masih mampu meneruskan kerjanya walaupun menerima kritikan hebat.

“Sayang kepada bangsa” kata Mahathir.