Friday, July 30, 2021

Makan di restoran dibenarkan mulai esok, kata menteri

Hanya dua orang satu meja dibenarkan.

Other News

Makan di restoran dibenarkan mulai esok dengan prosedur operasi standard hanya dua individu di satu meja, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Katanya penjarakan fizikal perlu dilaksanakan sekurang-kurang satu meter antara satu meja dan meja lain.

“Pemilik restoran juga perlu menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa,” katanya, dan menambah kehadiran pekerja dan pelanggan perlu direkodkan.

Beliau turut mengumumkan bahawa sektor peruncitan, yang meliputi pakaian, fesyen, aksesori, dan kedai kasut turut dibenarkan beroperasi mulai esok.

“Turut dibenarkan beroperasi kedai barang fotografi, kedai bunga, kedai kraftangan, kedai antik, kedai alat permainan dan kedai permaidani,” katanya.

“Kedai kandungan kreatif, kedai outdoor, peralatan sukan, barangan rumah, kedai kosmetik, kedai tembakau, kedai aksesori kenderaan serta Ar-Rahnu”.

Katanya, keputusan tersebut dibuat semasa mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Sementara itu katanya, kerajaan turut bersetuju untuk mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian internet yang luas.

“Hal ini kerana pelanggan didapati tidak mencatatkan nama dan nombor telefon yang betul dan ia menyukarkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes positif Covid-19 di premis-premis terlibat,” katanya.

Kata Ismail arahan ini berkuat kuasa serta-merta.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles