Monday, July 26, 2021

Aplikasi SELangkah Selangor didapati ‘tidak setanding’ MySejahtera

SELangkah didapati mempunyai kekurangan dari segi fungsi yang amat diperlukan dalam pengesanan kontak Covid-19.

Other News

MalaysiaNow difahamkan oleh beberapa jurutera pembangunan perisian bahawa aplikasi SELangkah Selangor didapati mempunyai kekurangan dari segi fungsi yang amat diperlukan bagi pengesanan kontak Covid-19, termasuk beberapa langkah penting dalam mengesahkan butiran yang dimasukkan pengguna.

Mereka membuat kesimpulan aplikasi itu “bermutu rendah” jika dibandingkan dengan MySejahtera yang dilancarkan oleh Putrajaya untuk kegunaan di seluruh negara.

“Ia sekadar aplikasi mudah. Berbanding dengan SELangkah, MySejahtera memiliki lebih fungsi seperti pengesanan kawasan panas Covid-19, pengurusan persandaran dan risiko tingkah laku,” kata satu laporan mengenai aplikasi tersebut yang dihantar ke MalaysiaNow.

Walaupun SElangkah mempunyai peta zon merahnya sendiri, dan ia “tidak sehebat MySejahtera”.

Penemuan ini hadir ketika Selangor terus menerus mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi berbanding negeri-negeri lain walaupun kerajaan negeri membentuk satu pasukan khas di luar skop kementerian kesihatan yang mengetuai usaha memerangi pandemik di seluruh negara.

Selangor turut membawa haluan sendiri bagi memantau perniagaan dan tempat-tempat awam ketika tempoh pandemik, dengan memperkenalkan aplikasi SELangkah, yang dibangunkan untuknya oleh sebuah syarikat swasta.

Ia berbeza dengan pendekatan diambil kerajaan negeri Pulau Pinang, yang memutuskan beralih menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak selepas pada awalnya bergantung kepada aplikasi PGCare yang dibangunkan mereka.

Berikutan peningkatan jumlah kes yang tinggi dari Selangor, hampir separuh daripada jumlah kes di seluruh negara, ketua pasukan khas Covid-19 negeri itu, yang merupakan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad, bertindak menuding jari kepada kerajaan persekutuan kerana enggan berkongsi data mentah bagi membantu negeri itu dalam usaha memerangi pandemik.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini tampil menjelaskan sebarang perkongsian data mentah dengan Selangor hanya menyukarkan keadaan kerana berkemungkinan berlaku konflik dalam menafsir data.

Selangor terus mencatatkan jangkitan harian tertinggi dan menyebabkan persoalan timbul mengenai keberkesanan penggunaan aplikasi SELangkah.

MalaysiaNow baru-baru ini melaporkan SELangkah menghadapi masalah dalam mendapat data tepat dan butiran lain mengenai jangkitan Covid-19, memaksa pembangun aplikasi itu dilancarkan semula dengan beberapa “penambahbaikan”.

Walaupun begitu, pembangun aplikasi itu, Dr Helmi Zakariah, bertindak memuji produk rekaannya sebagai “platform digital lengkap” yang menghubungkan penduduk di Selangor dengan “penyedia perkhidmatan kesihatan, komuniti perniagaan dan kerajaan negeri”.

Dalam respons dengan nada marah kepada MalaysiaNow, beliau mengatakan SELangkah memiliki tahap “kecanggihan analitik” yang tinggi dan juga “mudah digunakan petugas kesihatan”.

Namun, dalam penilaian baru-baru ini, yang disokong oleh pasukan teknologi maklumat MalaysiaNow, menunjukkan sebaliknya.

Pada asasnya, SELangkah didapati tiada bezanya dengan aplikasi lain dengan akses kamera.

“Apabila anda mengimbasnya, ia membuka pelayar dan pendaftaran dilakukan di laman sesawang SELangkah.my,” kata laporan penilaian itu.

Sedangkan aplikasi MySejahtera melakukan lebih lagi.

“MySejahtera tidak membuka sebarang aplikasi luaran seperti pelayar. Ia melakukan semua tugas di dalam aplikasi itu. Untuk setiap daftar masuk, ia akan melakukan panggilan API ke pelayannya untuk proses pendaftaran.”

Kerajaan negeri Pulau Pinang, kini menggunakan aplikasi MySejahtera menggantikan PGCare yang dibangunkan mereka.

Terjemahan?

“Terdapat pelayan bahagian belakang yang akan berkomunikasi dengan aplikasi setiap kali pengguna mengimbas aplikasi. Dengan kata lain, ia akan menghantar maklumat daftar masuk yang dimasukkan oleh pengguna ke pelayan bahagian belakang untuk disimpan, bagi membolehkannya diakses dari pangkalan data,” jelas laporan itu.

Satu kelemahan SELangkah, seperti maksud namanya adalah pendaftaran “satu langkah” yang boleh digunakan di mana-mana premis, ialah bagaimana ia mengumpul maklumat.

Pengguna hanya perlu memasukkan nama dan nombor telefon. Dan tanpa proses pengesahan, ini bermaksud sesiapa sahaja boleh mendaftar masuk ke mana-mana premis yang mempamerkan kod QR, bagi pihak orang lain.

Sebaliknya, ia hampir mustahil melakukan perkara sama dengan MySejahtera, yang turut mengumpul maklumat tambahan, nombor MyKad, digabungkan dengan lapisan keselamatan.

“MySejahtera menggunakan kata laluan. Anda memerlukan kata laluan seseorang untuk log dan daftar masuk. Anda tidak boleh mendaftar semula jika nombor MyKad atau telefon sudah terdapat di dalam sistem.”

Satu ujian yang dilakukan mengesahkannya.

Dengan ketiadaan pengesahan, seseorang boleh memasukkan nama dan nombor telefon secara rawak di dalam SELangkah, dan ia masih menerimanya sebagai satu rekod.

Pembangun aplikasi SELangkah serang MalaysiaNow

Dalam satu respons marah bertulis berhubung laporan MalaysiaNow mengenai keraguan terhadap SELangkah, Helmi yang membangunkan aplikasi itu mengatakan perisian yang digunakan mampu menjimatkan “beratus ribu jam bekerja dan membenarkan pengesanan kontak dilakukan secara efektif”.

Malah, dia turut membuat dakwaan mengagumkan tentang bagaimana aplikasi itu berjaya memastikan kes Covid-19 kekal rendah di Selangor.

“Ketika SELangkah digunakan secara aktif di Selangor (antara minggu ketiga Mei 2020 hingga Ogos 2020), kita berjaya memastikan kes positif rendah”.

Helmi kemudian mengatakan “kisah kejayaan” SELangkah dipadam dengan “khabar angin”, dan juga langkah Putrajaya mewajibkan penggunaan MySejahtera.

“Kebimbangan dalam kalangan pekedai selepas mendengar khabar angin dan laporan mengenai perniagaan lain dikompaun kerana terus mempamerkan poster SELangkah bersama-sama MySejahtera. Ini menyebabkan SELangkah tidak digunakan lagi,” tambahnya.

Helmi tidak banyak memberi penjelasan tentang bagaimana SELangkah memenuhi tujuan utamanya iaitu pengesanan kontak, selain mengatakan aplikasi tersebut “direorientasikan bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah berkaitan perkhidmatan awam perlu”.

“Ia termasuk ujian komuniti Covid-19 massa bersubsidi, sistem pembayaran tanpa sentuh untuk perniagaan kecil, pengagihan bantuan negeri, alat pemantauan rumah, pra pendaftaran slot vaksin, dan lain-lain.”

Dia kemudian melepaskan amarahnya terhadap MalaysiaNow.

“Kepada editor dan wartawan di MalaysiaNow, saya mengesyorkan agar anda membiasakan diri dalam menguraikan data dan memahami angka agar tidak menjadi sumber infodemik,” tulis Helmi.

Dia kemudian menamakan portal berita Malaysiakini sebagai pesaing, menggambarkannya sebagai “mempunyai nama yang sama maksud” dengan MalaysiaNow tetapi lebih memahami soal data.

MalaysiaNow bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles