- Iklan -
Berita

Mahkamah isytihar Rosliza Ibrahim sebagai bukan Islam

Wanita berbapakan seorang Islam dan ibu penganut agama Buddha, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakimaan dengan keputusan majoriti 7-2. Gambar: AFP
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakimaan dengan keputusan majoriti 7-2. Gambar: AFP

Seorang wanita yang dilahirkan luar nikah, berbapakan seorang Muslim dan ibu penganut agama Buddha, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk diisytiharkan sebagai bukan Islam.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim dalam penghakimaan dengan keputusan majoriti 7-2 itu membenarkan rayuan Rosliza Ibrahim serta permohonannya.

Beliau memutuskan bahawa Rosliza bukan orang yang menganut agama Islam kerana tidak ada bukti bahawa beliau adalah seorang Islam dengan kepercayaan yang sebenar.

Tengku Maimun berkata Rosliza dan ibunya tidak pernah menjadi seorang Muslim.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Zabariah Mohd Yusof, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang bersetuju dengan Tengku Maimun.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim setuju dengan Tengku Maimun berhubung dua persoalan undang-undang itu namun berpendapat tidak boleh membuat sebarang perintah berhubung pengisytiharan yang diminta Rosliza kerana tidak mempunyai pandangan jawatankuasa fatwa.

Rosliza, 38, memfailkan saman pemula pada 2015 untuk mendapatkan satu pengisytiharan bahawa beliau telah dilahirkan sebelum bapanya, yang beragama Islam dan mendiang ibunya, penganut Buddha, berkahwin.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu atas alasan bukti yang dikemukakan pemohon hanya menunjukkan bahawa tiada pendaftaran perkahwinan dibuat dan perkara itu tidak membuktikan bahawa perkahwinan itu tidak berlaku.

Wanita itu kemudiannya merayu namun gagal setelah rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.