- Iklan -
Berita

Peguam negara pertahankan pegawai-pegawainya selepas ‘dihina’ Tommy Thomas

Komen Thomas dalam bukunya jelas 'menghina' institusi perundangan negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Bernama
Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Bernama

Peguam Negara Idrus Harun mempertahankan pegawai-pegawainya ketika pendahulunya mengatakan Jabatan Peguam Negara kekurangan pegawai undang-undang yang kompeten sehingga memaksa kes berprofil tinggi diuruskan oleh peguam swasta.

“Saya ingin menekankan dan memberikan jaminan bahawa saya tidak akan terpengaruh dengan kandungan buku tersebut yang jelas menunjukkan pemikiran dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam seperti Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri,” kata Idrus merujuk kepada buku “My Story: Justice in the Wilderness,” autobiografi bekas peguam negara Tommy Thomas.

Katanya, pegawai perundangan negara sentiasa mengutamakan tanggungjawab sehingga ada sebahagiannya sanggup mengorbankan masa bersama keluarga demi tugas.

“Pegawai undang-undang yang sentiasa bekerja di bawah tekanan yang tinggi dalam keterdesakan waktu bagi tugas-tugas yang amat mencabar sehingga sering bekerja di luar waktu pejabat termasuk cuti hujung minggu,” katanya.

Thomas dalam tulisannya mengatakan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara berada pada tahap rendah.

Katanya, buku Thomas itu mengundang pelbagai reaksi daripada ramai pihak dan memberikan implikasi negatif terhadap sistem perundangan negara.

“Sebelum saya memegang jawatan sebagai peguam negara, saya berkhidmat dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama hampir 35 tahun dan menjawat jawatan peguam cara negara sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2014.

“Saya tiada keraguan mengenai kebolehan, kemahiran, komitmen dan dedikasi pegawai undang-undang dalam memikul tanggungjawab dan malaksanakan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih.

“Pegawai jabatan ini memperoleh keputusan kes berprofil tinggi yang memihak kepada kerajaan. Ini jelas menunjukkan kebolehan dan keupayaan pegawai undang-undang dalam mengendalikan kes-kes adalah setanding dengan, malah baik daripada peguam swasta,” katanya.

Selain itu, beliau juga meluahkan rasa bangga terhadap barisan pegawai perundangan untuk terus memberikan komitmen dan berdedikasi dalam saat negara menghadapi situasi kritikal sekarang.

“Sebagai pegawai undang-undang pula, mereka perlu melaksanakan tugas berdasarkan rukun undang-undang dengan penuh kesetiaan kepada raja dan negara.

“Saya menyeru para pegawai perundangan untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan terus memacu Jabatan Peguam Negara ke arah kejayaan seiring dengan aspirasi ‘Bertekad Menegakkan Keadilan’”.