- Iklan -
Berita

Duit KWSP dikeluarkan turut dibelanjakan untuk perbelanjaan bukan kecemasan, kata kajian

Membayar hutang, melabur dan membaiki rumah antara perkara yang dilakukan pencarum yang mengeluarkan wang skim i-Sinar.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seramai lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat manfaat daripada skim i-Sinar membabitkan peruntukan RM70 bilion.
Seramai lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat manfaat daripada skim i-Sinar membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Satu kaji selidik mendedahkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan wang melalui skim i-Sinar menggunakannya bagi membayar balik pinjaman terutama mereka daripada golongan B40 dan M40 berusia 26 hingga 55 tahun.

Dalam kaji selidik yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI seramai 809 responden ditanya mengenai bagaimana mereka membelanjakan wang i-Sinar, dan 55% mengatakan ia digunakan bagi membayar balik ansuran bulanan.

Sebanyak 48.6% responden menggunakan wang itu bagi membeli makanan dan barang dapur, 34.9 melakukan pelaburan sama ada membeli emas atau saham serta 32% membaiki atau ubah suai rumah.

“Responden turut mengatakan mereka menggunakan wang i-Sinar untuk membeli gajet, telefon dan computer (24.1%) dan sebanyak 18.4% menyimpan dalam akaun bank,” kata kaji selidik itu.

Pada pada November lepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak.

Jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Kaji selidik yang melibatkan responden dari seluruh negara terdiri daripada mereka yang mengeluarkan i-Sinar atau merancang untuk memohon pengeluaran.

Responden turut ditanyakan bagaimana skim i-Sinar membantu mereka, 68.3% berpendapat i-Sinar sangat membantu, 20.9% lagi merasakan tidak pasti dan 10.8% memilih tidak membantu.

“Sebanyak 47.2% turut mengatakan setuju dana persaraan mereka akan terjejas pada masa depan kerana mengeluarkan i-Sinar, 30.2% memilih tidak dan baki 22.6% menjawab tidak pasti,” tambah kaji selidik itu.

Kata kajian itu lagi golongan T20 yang berusia 40 hingga 50 tahun memilih menggunakan wang i-Sinar untuk melakukan pelaburan.