- Iklan -
Berita

Berhati-hati sebelum beli komputer riba dalam talian, kata persatuan pengguna

CAP kesa beberapa sindiket penipuan yang menggunakan 'keldai wang' untuk menipu transaksi wang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pembelian peranti di kedai fizikal mampu mengelak diri ditipu penjual dalam talian. Gambar: Bernama
Pembelian peranti di kedai fizikal mampu mengelak diri ditipu penjual dalam talian. Gambar: Bernama

Pelajar dan ibu bapa disarankan untuk lebih berwaspada sebelum melakukan sebarang pembelian komputer riba menerusi dalam talian bagi mengelakkan berlakunya penipuan, kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

Beliau berkata, CAP mengesan beberapa sindiket penipuan yang menggunakan “keldai wang” untuk menipu transaksi wang.

“Dengan kemunculan perniagaan dalam talian dan pelajar yang perlu belajar melalui dalam talian, terdapat lonjakan dalam permintaan bagi komputer dan komputer riba.

“Bagaimanapun, CAP berharap agar pengguna yang mahu membeli peranti atau peralatan ini agar lebih berhati-hati terhadap (1) penipuan, (2) jaminan, dan (3) harga,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa untuk tidak membeli peranti itu melalui media sosial seperti Facebook atau aplikasi WhatsApp kerana kebolehpercayaan penjualnya sukar dikenal pasti.

“Ia mungkin memberi alasan bahawa terdapat akaun bank yang sah di mana bayaran boleh didepositkan tetapi penerima (pemegang akaun bank) mungkin apa yang dikenali sebagai ‘keldai wang’.

“Keldai wang ialah seseorang yang dibayar bagi perkhidmatan dengan sejumlah kecil wang yang dipindahkan.

“Keldai mungkin tidak menyedari akaunnya digunakan bagi pemindahan wang haram daripada pembeli kepada pengendali penipuan.”

CAP berkata, orang ramai juga boleh memeriksa jika akaun bank mereka atau orang lain digunakan dalam penipuan atau aktiviti penipuan lain di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Menurut CAP, lebih baik jika pembelian dilakukan menerusi rakan yang dikenali berbanding membeli dari negeri yang berbeza disebabkan kesukaran untuk mendapat jaminan peranti tersebut tidak rosak.

“Adakah terdapat sebarang jaminan apabila anda membeli sesuatu peranti itu?

“Sesetengah pengeluar membenarkan anda untuk memeriksa jaminan secara dalam talian berdasarkan number siri peranti.

“Jika anda membeli daripada seseorang yang anda kenal dan tinggal berdekatan, mungkin anda boleh mengujinya sebelum membuat keputusan untuk membelinya.”

CAP berkata, di musim pandemik Covid-19 ini, pendidikan secara dalam talian tidak dapat dielakkan dan sudah pasti ia membebankan keluarga B40, yang kebanyakannya tidak mampu untuk memiliki komputer riba yang juga memerlukan sambungan internet untuk pendidikan dalam talian.

“Kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati apabila membeli komputer atau komputer riba (lama, diperbaharui atau baru) kerana mereka menjadi sasaran penipu atau mereka yang mengambil kesempatan terhadap mereka yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya.

“Kami juga turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terus memantau penjualan peralatan komputer.”