- Iklan -
Berita

Timbalan speaker Umno tolak cadangan Ahmad Maslan untuk adakan sidang khas Parlimen

Perisytiharan proklamasi darurat dan/atau pemasyhuran Ordinan oleh Agong tidak boleh dicabar sama sekali kerana ia diperuntukkan Perlembagaan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Pangerang Azalina Othman Said menolak cadangan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.

Dalam surat yang dikeluarkan semalam, Ahmad memohon semua ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional untuk mengemukakan persetujuan bagi pelaksanaan Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan satu sidang parlimen segera berhubung proklamasi darurat dan meminta jawapan mereka sebelum 12.30 tengah hari, hari ini.

Azalina dalam surat jawapan balasnya hari ini berkata sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, beliau adalah antara individu yang paling mengutamakan dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen, namun ada isu-isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan lebih mendalam, sebelum beliau dapat memberikan persetujuannya.

“Lebih-lebih lagi kerana isu itu menyentuh tentang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata pertama sekali beliau mengambil maklum bahawa kes-kes mahkamah yang dilaporkan sebelum ini memutuskan bahawa perisytiharan proklamasi darurat dan/atau pemasyhuran Ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar sama sekali kerana ia diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Azalina berkata walaupun proklamasi itu tidak boleh dicabar, beliau percaya ada cadangan dan syor-syor alternatif yang boleh diketengahkan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, seperti mencadangkan supaya satu Majlis Khas Parlimen (bipartisan) bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu berkaitan hak asasi dan kebebasan rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan ditubuhkan.

Selain itu katanya persetujuan penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional sekitar tahun lepas boleh terus digunapakai Umno untuk menyalurkan apa-apa input termasuk bagi menimbulkan apa-apa bantahan berhubung dasar kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat.

Beliau berkata pertama sekali beliau mengambil maklum bahawa kes-kes mahkamah yang dilaporkan sebelum ini memutuskan bahawa perisytiharan proklamasi darurat dan/atau pemasyhuran Ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar sama sekali kerana ia diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

“Semua ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada Umno yang merupakan ahli Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dan juga jawatankuasa Pilihan Khas masih boleh memainkan peranan yang aktif supaya aktiviti-aktiviti KRPPM dan JPK masih terus giat dijalankan dan diteruskan.

“Ini memandangkan pada 12 Januari lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat mengumumkan bahawa semua aktiviti kaukus, KRRPM atau JPK yang ditubuhkan masih boleh diteruskan.

“Apa-apa kegusaran dan rintihan rakyat di kawasan Parlimen masing-masing juga boleh dibawa ke perhatian menteri Umno secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet. Ini memandangkan ahli-ahli Parlimen Umno masih lagi mendapat peruntukan dari kerajaan dan mempunyai kebebasan untuk merentas negeri bagi melawat kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut memohon wakil Umno dapat dilantik secepat mungkin ke dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang bakal ditubuhkan nanti sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Azalina berkata bagi negara-negara lain yang mengisytiharkan darurat untuk mengekang penularan Covid-19, mereka terlebih dahulu membuat persiapan, antaranya dengan meminda peraturan mesyuarat supaya persidangan Parlimen boleh dilakukan secara dalam talian.

“Hakikatnya, perkara ini tidak dilakukan negara kita dalam persidangan lepas,” katanya.

Beliau berkata, wajar ditekankan bahawa fasal 14(1) ordinan yang baharu dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memperuntukkan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana difikirkan sesuai oleh Sultan Abdullah.

“Pada hemat saya kebarangkalian Agong memanggil suatu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini, ataupun membatalkan proklamasi dan Ordinan itu sama sekali amatlah tipis,” katanya.

“Oleh sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka saya dengan hormatnya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu itu sepertimana yang diminta Yang Berhormat Pontian,” katanya.