- Iklan -
Berita

Menteri jelaskan rasional benarkan kedai barang kemas dibuka

Ia bertujuan untuk membantu rakyat bawahan yang mahu menjual barang kemas mereka bagi mendapatkan wang tunai.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan juga mendengar rintihan peniaga-peniaga kecil yang memerlukan wang dengan menjual semula emas bagi membeli barangan keperluan sepanjang PKP. Gambar: Bernama
Kerajaan juga mendengar rintihan peniaga-peniaga kecil yang memerlukan wang dengan menjual semula emas bagi membeli barangan keperluan sepanjang PKP. Gambar: Bernama

Kebenaran kepada sesetengah perniagaan tidak perlu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan memastikan ekonomi tempatan di bandar-bandar kecil hidup, kata Putrajaya menjawab kritikan sesetengah pihak berhubung kebenaran terhadap perniagaan tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata ini termasuklah kedai emas dan barangan kemas yang dibenarkan untuk beroperasi semasa tempoh PKP.

Katanya ia bertujuan untuk membantu rakyat bawahan yang mahu menjual barang kemas mereka bagi mendapatkan wang tunai disebabkan terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, rintihan peniaga-peniaga di bandar-bandar kecil menyebabkan kerajaan memutuskan perniagaan kedai emas dan barang kemas sebagai salah satu perkhidmatan keperluan.

“Mereka bantu orang beli emas dan jual balik emas, jadi ada orang yang mahu mendapatkan wang tunai dengan menjual semula emas,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam Najib Razak mempersoalkan mengapa kedai barangan kemas dibenarkan untuk beroperasi walaupun bukanlah satu perkhidmatan keperluan.

Bekas presiden Umno itu yang kini merupakan pengkritik utama kerajaan yang mana partinya merupakan sebahagian daripadanya, merujuk kepada notis kedai barangan kemas terkenal Habib Jewels yang memberitahu pelanggan mereka beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, rintihan peniaga-peniaga di bandar-bandar kecil menyebabkan kerajaan memutuskan perniagaan kedai emas dan barang kemas sebagai salah satu perkhidmatan keperluan.

“Essential service bagi siapa?” soal Najib.

Tetapi Nanta berkata yang mendapat manfaat besar daripada langkah ini adalah rakyat biasa.

“Jangan cakap tentang kedai emas Habib Jewels, jangan cakap tentang kedai emas yang besar sebab ada juga kedai emas yang hanya kedai kecil dan pemiliknya orang biasa-biasa sahaja,” katanya.

“Jadi kita dapati ada keperluan untuk membantu golongan ini yang hendak buat transaksi, sebab itu kita benarkan”.

Awal minggu ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula PKP selepas lonjakan kes Covid-19 yang kini sudah menjangkiti lebih 150,000 orang dan meragut nyawa hampir 600 orang.

Nanta berkata, kerajaan juga mendengar rintihan peniaga-peniaga kecil yang memerlukan wang dengan menjual semula emas bagi membeli barangan keperluan sepanjang PKP.

“Daripada perspektif kementerian, bukan tentang pembelian untuk kecantikan tetapi untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah”.

Selain kedai barangan kemas, kerajaan turut membenarkan pusat beli-belah dan pasar raya kecil untuk beroperasi termasuk kedai perabot, elektronik, alat tulis, perkakasan, kedai makanan haiwan, automotif, bengkel dan alat ganti.

Pihak berkuasa bagaimanapun memberikan amaran kepada peniaga supaya memastikan SOP Covid-19 dipatuhi seperti menggunakan aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menyemak suhu sebelum membenarkan pelanggan masuk.