- Iklan -
Berita

ATM tidak berkuasa tahan pesalah PKP, kata sumber

Kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam merujuk kepada tangkapan dalam Operasi Benteng (Op Benteng).

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam merujuk kepada tangkapan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), kata sumber.

Sumber kementerian pertahanan memberitahu MalaysiaNow, sebarang kuasa tangkapan kepada pesalah yang melanggar arahan dalam tempoh PKP masih tertakluk kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini yang dimaklumkan kepada kami, kenyataan menteri itu merujuk kepada tangkapan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), bukannya arahan PKP,” kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

“ATM pun masih lagi membantu polis untuk rondaan dan sekatan jalan raya (SJR).”

Awal minggu ini Agong memperkenankan perisytiharan darurat bagi mengekang wabak Covid-19 yang sudah menjangkiti hampir 150,000 orang dan meragut hampir 600 nyawa.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa memperincikan berhubung darurat pandemik itu memberi jaminan kerajaan akan berjalan seperti biasa dan negara tidak akan mengamalkan pemerintahan tentera.

Semalam media melaporkan Ismail sebagai berkata di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

Laporan itu mengundang reaksi daripada kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) yang mengatakan tindakan terhadap mereka yang melanggar PKP boleh disalah guna dan melanggar hak kebebasan rakyat.

LFL dalam kenyataan hari ini menegaskan kebimbangan mengenai kebenaran membenarkan anggota tentera menangkap orang awam mungkin boleh menyebabkan penggunaan kekerasan secara berlebih, dan lain-lain.

Bagaimanapun, menerusi sidang media semalam, Ismail menyebutkan pasukan bertujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP hanya melibatkan pasukan polis, bukannya anggota tentera.

“Semalam (13 Januari) sebanyak 2,874 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri 12,779 anggota melakukan 46,165 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, menerusi sidang media semalam, Ismail menyebutkan pasukan bertujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKP hanya melibatkan pasukan polis, bukannya anggota tentera.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang menyatakan ATM terus komited meneruskan pemantauan dalam Operasi Penawar dan turut membantu PDRM untuk kuatkuasakan PKP yang bermula pada Rabu.

“Seramai 2,582 anggota diaturgerakkan termasuk di Sabah & Sarawak utk laksanakan tugas SJR & Rondaan MPV. Aturgerak ini tidak jejaskan Op Murni dan Op Benteng,” tulisnya di Twitter, semalam.