Wednesday, December 1, 2021

Najib dibayangi kemungkinan karier politik berakhir dalam tempoh darurat Covid-19

Kes yang melibatkan tujuh dakwaan rasuah terhadap bekas perdana menteri itu sudah cukup untuk menamatkan karier politiknya.

Other News

Berakhirnya tempoh darurat mungkin akan menyaksikan karier politik Najib Razak juga tamat kerana dalam tempoh enam bulan akan datang, proses rayuan bekas perdana menteri itu dalam kes melibatkan dana RM42 juta berkait SRC International Sdn Bhd akan selesai.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah dalam tujuh dakwaan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM42 juta daripada syarikat SRC International Sdn Bhd.

Dalam rayuannya, peguam Najib mengemukakan lebih daripada 300 alasan untuk mengenepikan sabitan bersalah yang akan mula didengar pada 15 Februari akan datang.

Seorang peguam kanan bagaimanapun berkata, kes yang melibatkan tujuh dakwaan rasuah terhadap bekas perdana menteri itu sudah cukup untuk menamatkan karier politiknya.

Haniff Khatri Abdulla berkata, jika Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman terhadap kes tersebut, karier Najib dalam politik perlu direhatkan sehingga 2033, ketika Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) perlu dilaksanakan.

“Kalau tak ada apa-apa pengampunan Diraja, maka hancurlah karier Najib Razak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Selain Najib, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan adalah antara ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sedang berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan satu pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19 berkuat kuasa hari ini sehingga 1 Ogos 2021.

Dalam perutusan khas sempena perisytiharan darurat semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan kerajaan akan berjalan seperti biasa dan berikrar tidak akan mencampuri urusan mahkamah.

“Kalau tak ada apa-apa pengampunan Diraja, maka hancurlah karier Najib Razak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seorang penganalisis melihat jaminan perdana menteri untuk tidak mencampuri urusan mahkamah sebagai satu amaran kepada “kluster mahkamah”, merujuk kepada ahli Parlimen BN yang berdepan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Shamsul Amri Baharuddin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan bahawa kenyataan Muhyiddin semalam sebagai satu isyarat keras kepada Najib untuk mengatakan beliau tidak mahu menjalankan sebarang rundingan melibatkan kes-kes mahkamah bekas bosnya itu.

“Tiada harapan, tiada harapan langsung untuk Najib berunding dengan Muhyiddin kerana perdana menteri sudah memberi gambaran seolah-olah sudah ada ‘sekatan’ di situ, beliau sememangnya tidak mahu dikaitkan atau terlibat dengan kes-kes Najib,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bukan dia sahajalah, yang lain juga, pemimpin Umno yang berdepan tuduhan mahkamah. Amaran ini pun diguna pakai juga kepada ‘kluster mahkamah’ bukan dia (Najib) sahaja.”

Proses rayuan kes SRC International akan berjalan dalam tempoh 14 hari tanpa memerlukan saksi dipanggil.

Haniff berkata, ia mampu diselesaikan dengan keputusan hakim pada hujung bulan depan.

Sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan hukuman kes, Najib boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan di mana ia boleh dilakukan dalam tempoh kurang empat bulan.

“Jadi sebelum 1 Ogos (tarikh akhir tempoh darurat), boleh selesai kes di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mengikut undang-undang sesiapa yang disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara melebihi setahun dan denda melebihi RM2,000 tidak boleh bertanding pilihan raya selama tempoh lima tahun selepas dibebaskan.

Akan tetapi pengampunan Diraja dengan Agong menggunakan kuasanya di bawah Artikel 48 (3) Perlembagaan Persekutuan boleh memberikan peluang kepada Najib untuk bertanding PRU17.

Klausa itu membenarkan Agong mengenepikan larangan terhadap seseorang untuk aktif berpolitik.

Menurut Haniff sekiranya Najib gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib perlu menjalani hukuman penjara.

“Jika Agong tidak memberikan pengampunan, maka dia tidak boleh bertanding PRU15, PRU16 dan PRU17. Sebab (tempoh) lima tahun masih berfungsi,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles