- Iklan -
Berita

Agong perkenan isytihar darurat bagi membendung Covid-19

Darurat akan dlaksanakan sehingga 1 Ogos 2021.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan satu pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021.

“Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.”

Menurut kenyataan dari Istana Negara itu, satu jawatankuasa bebas yang dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan akan ditubuhkan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu semalam Perdana Menteri Muhyidin Yassin  menyembah maklum keputusan Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu.

“Setelah memperhalusi penjelasan YAB perdana menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani bin Salleh, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, maka Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu,” kata kenyataan itu.

Menurut Istana Negara, perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara serta berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

“Menurut statistik, lima belas hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

“Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

“Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus”.