- Iklan -
Berita

Survival universiti di Malaysia dalam tempoh pandemik 2021

Pusat pengajian tinggi masih mampu mencapai kemajuan jika mereka menggunakan pendekatan dan teknologi baru.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan mengikuti pembelajaran secara maya di dalam kelas dengan mengamalkan penjarakan fizikal. Gambar: Bernama
Beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan mengikuti pembelajaran secara maya di dalam kelas dengan mengamalkan penjarakan fizikal. Gambar: Bernama

Covid-19 memberikan kesan buruk kepada institusi pengajian tinggi tahun lalu dan pada 2021 keadaan itu tidak jauh bezanya.

Kampus-kampus di seluruh negara ditutup, menyebabkan kelas secara bersemuka digantikan dengan kuliah dalam talian hampir sepanjang tahun lalu.

Bekerja dari rumah menggunakan pautan video menjadikan skrin komputer sebagai ruang kuliah baru buat pelajar dan juga pensyarah.

Universiti di seluruh dunia menghadapi cabaran berpunca daripada masalah yang sama.

Bagi pelajar asing, ketika kes Covid-19 melonjak tinggi di seluruh dunia, penerbangan antarabangsa dihentikan dan sempadan ditutup, ia menjadi satu kesukaran buat mereka memasuki negara yang didaftar untuk belajar.

Malaysia merupakan salah satu destinasi pusat pengajian tinggi yang popular di Asia.

Ia menjadi tempat di mana terletaknya beberapa universiti swasta yang berprestij serta universiti awam bertaraf antarabangsa.

Pelajar dari seluruh dunia datang ke negara ini bagi mendapatkan kelayakan akademik tahap terbaik, dan sejak sekian lama universiti-universiti di Malaysia berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan daripada kemasukan pelajar-pelajar antarabangsa.

Pelajar asing dikenakan bayaran yuran dua kali ganda berbanding rakyat negara ini.

Kemasukan pelajar antarabangsa yang konsisten sebelum pandemik antara sebab utama IPT mewah selama bertahun-tahun.

Namun, sekarang semuanya hilang disebabkan Covid-19.

Universiti awam secara umumnya dibiayai oleh kerajaan, tetapi kolej dan universiti swasta tidak diberi kelebihan itu dan terpaksa mencari jalan alternatif untuk menjana pendapatan.

Nik Safiah Abdul Karim, bekas pensyarah di Universiti Malaya memberitahu MalaysiaNow pertumbuhan pesat pendidikan tinggi Malaysia sebelum ini kini bertukar menjadi satu masalah.

“Perkembangan pendidikan tinggi di negara ini berlaku terlalu cepat untuk menghasilkan satu keputusan yang memuaskan,” katanya.

“Saya juga percaya terdapat terlalu banyak campur tangan luar dalam bidang pendidikan.”

Beliau berkata hasil keputusan akademik yang tidak memuaskan melemahkan kepercayaan terhadap kemampuan universiti untuk terus berkembang.

Namun, sekarang semuanya hilang disebabkan Covid-19.

Orang ramai mula mempersoalkan kualiti bukan sahaja graduan tetapi juga tenaga pengajar, kemudahan penyelidikan dan kesesuaian jurusan yang ditawarkan dengan keperluan pasaran.

Naib canselor Universiti Asia e (AeU), Hassan Said, mengatakan terdapat pilihan lain yang boleh dilakukan oleh pihak universiti bagi menampung dan meningkatkan kebolehan produk ketika pandemik.

“Pihak universiti masih boleh mendaftar kemasukan pelajar asing tetapi mereka perlu memudahkan pengajian dengan menyediakan persekitaran e-pembelajaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mereka juga boleh mula menggunakan pendekatan pengajian campuran dengan menawarkan program tidak melibatkan pengunaan makmal melalui e-pembelajaran.”

Hassan turut mempunyai jawapan kepada masalah pembangunan pesat tetapi produktiviti rendah.

“Kursus jangka pendek diperlukan, ini kerana syarikat memerlukan kakitangan mereka dilatih semula bagi memenuhi kehendak pekerjaan baru. Inovasi diperlukan untuk memindahkan produk kepada rantaian nilai baru yang memerlukan penyelidikan dan pembangunan peringkat tinggi oleh pihak universiti,” katanya.

Masa depan universiti di Malaysia amat sukar diramalkan.

Universiti awam dijangka mampu bertahan, tetapi beberapa universiti swasta – terutama yang berskala kecil – mungkin akan gulung tikar disebabkan kekurangan dana.

Hassan berkata apa sahaja boleh berlaku pada masa depan universiti.

“Jika mereka mula menerapkan pengunaan teknologi dalam pembelajaran cara baru, mengoptimumkan kos, membawa kemahiran baru dalam organisasi mereka dan memperkenalkan program-program bertepatan dengan keperluan semasa yang wujud disebabkan pandemik, mereka akan berkembang maju.”

Namun, bagi Nik Safiah, ia terlalu awal untuk meramalkan masa depan universiti di Malaysia.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pembangunan pembelajaran digital, mengubah kembali struktur universiti dan memastikan keseimbangan antara e-pembelajaran dan komunikasi secara bersemuka.

“Saya tak nampak yang universiti-universiti awam utama negara ini akan ditutup. Saya juga tidak menjangkakan akan ada universiti baru muncul sehingga kita pulih daripada kesan Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.