- Iklan -
Berita

Tinggalkan kerajaan untuk paksa PRU diadakan, Zahid desak ahli Parlimen Umno

Zahid meminta ahli-ahli Parlimen Umno meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua Umno bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua Umno bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli-ahli Parlimen Umno meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini bagi memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera, ketika jangkitan Covid-19 mencecah empat angka hampir setiap hari, kata sumber.

Presiden Umno itu yang kini berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah itu berkata demikian dalam perjumpaan bersama ketua-ketua Umno bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

“Menurut Zahid Umno tiada pilihan kerana kerajaan PN gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran,” kata sumber itu yang juga merupakan salah seorang ketua Umno bahagian yang hadir dalam perjumpaan itu kepada MalaysiaNow.

“Zahid turut meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno yang dilantik PN, melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021.”

Sumber memberitahu MalaysiaNow, hanya lebih kurang 60% daripada ketua Umno bahagian yang hadir.

MalaysiaNow melaporkan sebelum ini melaporkan Putrajaya bersiap siaga berdepan kemungkinan berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19, sehingga mencecah angka 5,000 sehari pada akhir Februari menyebabkan kelengkapan hospital tidak mencukupi untuk merawat pesakit.

Awal Disember lalu, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME), sebuah pusat penyelidikan di Universiti Washington mengunjurkan Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih 5,000 jangkitan setiap hari menjelang 25 Februari.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri kini berdepan 47 pertuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Tahun lalu MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama dengan bekas perdana menteri Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Sehingga hari ini, Zahid dan Najib tidak pernah menafikan berhubung surat tersebut.

Selepas diasak bertalu-talu, Najib kemudiannya mengesahkan beliau meminta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Anwar.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November, MalaysiaNow mendedahkan sekumpulan bekas pemimpin kerajaan yang terpalit rasuah merancang untuk menggagalkan Belanjawan 2021 bagi memaksa pilihan raya umum mengejut diadakan.

Sumber itu berkata, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk turut membangkitkan isu penjualan aset-aset Tabung Haji oleh Pakatan Harapan (PH) yang dibuat secara tidak betul dan gagal dinilai semula oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan itu.

“Selain itu Zahid turut mempersoalkan kegagalan kerajaan untuk melakukan pembetulan dalam kes kematian anggota bomba, Mohd Adib Mohd Kassim dan pendakwaan terpilih oleh Pakatan Harapan (PH) masih berterusan,” kata sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan itu.