- Iklan -
Berita

Tahun Agong tunjuk kuasa sebenarnya

Sultan Abdullah membuktikan dirinya bukan sekadar simbol kepada pentadbiran negara.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), dan kegagalan kudeta pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang mempunyai majoriti tipis antara warna-warni dalam politik Malaysia sepanjang tahun 2020 ketika negara turut terjejas dengan wabak Covid-19.

Dalam kekalutan yang berlaku, Yang di Pertuan Agong yang selama ini hanya dilihat sebagai simbol kepada pentadbiran negara, memainkan peranan yang signifikan dalam mendidik rakyat negara ini mengenai kuasa sebenar raja berperlembagaan daripada apa yang diajar dalam mana-mana buku teks sekolah.

Semuanya bermula pada bulan Februari, ketika negara dikejutkan apabila Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, 22 bulan selepas mencipta sejarah memimpin gabungan pembangkang PH untuk menumbangkan pemerintahan selama enam dekad Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2018.

Berikutan itu krisis politik berlaku, dan negara dibiarkan tanpa kerajaan.

Situasi politik yang tidak stabil ini menyaksikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggunakan sepenuhnya kedudukannya dalam Perlembagaan, dan ini jelas dapat dilihat apabila Agong mengunakan kuasa dimilikinya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mahathir.

Selama beberapa hari pada bulan Februari, Agong memanggil semua ahli-ahli Parlimen dan ketua-ketua parti politik untuk menemuramah sebelum memutuskan Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib mengakui peranan penting yang dimainkan oleh Raja Berperlembagaan di saat berlaku kemelut dalam badan eksekutif negara.

Katanya peranan yang dimainkan oleh Agong dengan dibantu Majlis Raja-Raja sepanjang tempoh krisis berlaku menyedarkan parti-parti politik dan politikus di luar sana bahawa Raja Berperlembagaan adalah ketua negara Malaysia.

“Parti-parti politik akan sentiasa bersaing demi kuasa dan kepentingan individu atau parti, dan adanya Agong membantu menyedarkan mereka bahawa kepentingan sebenar yang perlu dijaga dan mendapat perhatian adalah ‘rakyat’,” kata Kartini yang merupakan felow penyelidik kanan Institut Kajian Etnik (Kita) kepada MalaysiaNow.

Katanya peranan yang dimainkan Agong kepada masyarakat, menunjukkan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia memperbaharui kerelevanannya, dan ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib mengakui peranan penting yang dimainkan oleh Raja Berperlembagaan di saat berlaku kemelut dalam badan eksekutif negara.

“Agong sebagai Raja Berperlembagaan adalah untuk menyedarkan ahli politik ‘stop politiking’ dan jalankan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat kepada mereka sebagai wakil rakyat.”

Majoriti tipis

Peletakan jawatan Mahathir memberi jalan kepada pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, dan memimpin kerajaan PN yang terdiri daripada gabungan Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain.

Perubahan kepimpinan di peringkat persekutuan menyaksikan negeri-negeri dipimpin PH turut jatuh ke PN seperti Johor, Perak, Melaka, Kedah dan Sabah.

Bagaimanapun PH masih mengekalkan penguasaan di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Walaupun mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat, PN berjaya dalam ujian pertamanya di Parlimen dengan melantik Azhar Azizan Harun sebagai speaker bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof.

Pada 22 September ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sabah masih berjalan, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan beliau sudah mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk menjadi perdana menteri dan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tumbang.

Sultan Abdullah sekali lagi memainkan peranannya dalam Perlembagaan negara, dengan mengizinkan Anwar mengadap untuk membuktikan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti didakwanya, walaupun beberapa bulan sebelumnya Agong memberi peringatan kepada ahli politik supaya tidak mencetuskan satu lagi krisis politik.

Selepas gagal membuktikan dakwaannya, Anwar dan penyokongnya berusaha untuk mengagalkan Belanjawan 2021 menerusi undi percaya terhadap Muhyiddin, yang mana kegagalan dalam meluluskan belanjawan itu bererti kerajaan akan tumbang, dan akan memberi laluan kepada pilihan raya umum musim pandemik yang amat ditakuti.

Kemungkinan berlakunya pilihan raya ketika Covid-19 masih berleluasa menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang ramai, terutama selepas pilihan raya negeri di Sabah menyebabkan lonjakan jangkitan yang melepasi angka 100,000 pada Disember.

Jalan keluar menerusi Perlembagaan adalah dengan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya daripada diadakan.

Sekali lagi, Agong menjadi tumpuan negara.

Pada 25 Oktober, Agong memutuskan pengisytiharan darurat tidak diperlukan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Tetapi daripada memperlihatkan ia sebagai satu tamparan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin yang membuat cadangan itu, Agong bersifat diplomatik dengan memuji perdana menteri di atas usaha yang dilakukan dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Oleh itu, Yang di Pertuan Agong ingin memberi peringatan kepada ahli politik untuk menghentikan semua politicking yang mengganggu kestabilan pentadbiran negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan pihak istana.

Ia bukan peringatan pertama dikeluarkan oleh Agong.

Dalam satu kenyataan yang ditulis dengan teliti, Agong berulang kali merayu kepada semua ahli Parlimen untuk mengetepikan perbezaan politik mereka dan memastikan belanjawan diluluskan supaya peruntukan yang mencukupi dalam disalurkan dalam usaha memerangi Covid-19.

Pada 26 November, perkara yang paling dinanti bagi menggagalkan belanjawan tidak berlaku, selepas ahli Parlimen PH duduk ketika undian belah bahagi dilakukan, dan menyebabkan belanwajan lulus dengan undian suara.

Kemudian timbul dakwaan bahawa Anwar mengeluarkan arahan kepada ahli Parlimen PH untuk menentang Belanjawan 2021 pada peringkat dasar.

Namun, hari-hari selepas itu menyaksikan kemenangan PN berterusan, apabila peruntukan kementerian-kementerian dalam belanjawan diluluskan walaupun ada cubaan undi belah bahagi.

Kartini mengatakan apa yang berlaku menunjukkan kemampuan Muhyiddin untuk terus kekal berkuasa di sebalik pelbagai usaha dilakukan daripada blok politik berbeza untuk menjatuhkannya.

Kartini berkata ia ada kaitan pengalaman luas dimiliki Muhyiddin dalam politik.

“Amat penting bahawa Muhyiddin, dengan pengalaman luas dalam kerajaan dan di pelbagai kementerian sejak 1986 menyebabkan beliau dihormati,” katanya kepada MalaysiaNow.

* Fazreen Kamal turut menyumbang kepada laporan ini.