- Iklan -
Berita

Kahwin cara Sikh, jangan cepat jatuh hukum, kata menteri agama

Wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad AI-Bakri. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad AI-Bakri. Gambar: Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad memohon supaya semua pihak bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai status membabitkan wanita Melayu-Islam yang berkahwin mengikut istiadat Sikh.

Katanya tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.

“Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu membabitkan seorang wanita Johor, Illi Najwa Saddique yang melangsung perkahwinan dengan kapten hoki India Manpreet Singh Parwarwas di Punjab mengikut istiadat Sikh, selepas video perkahwinan itu menjadi tular.

Illi Najwa, yang merupakan anak saudara kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi Halimah Mohamed Sadique dari Barisan Nasional, sebelum ini menjelaskan suaminya memeluk Islam sejak tahun lepas.

Zulkifli berkata, beliau turut senada dengan pandang Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pramatang dalam berita yang disebarkan.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya daripada agama Islam,” katanya.

Terdahulu MalaysiaNow melaporkan Pengerusi Amanah Terengganu Raja Bahrin Shah mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap Illi Najwa.

Katanya Zulkifli harus menjalankan siasatan rasmi status agama Illi Najwa, selepas video perkahwinannya menjadi tular.

Zulkifli menambah dalam isu membabitkan Illi Najwa, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

“Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor,” katanya.