Friday, June 25, 2021

Kerajaan pilih vaksin Pfizer kerana 95% berkesan cegah Covid-19, kata menteri

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

Other News

Kerajaan memilih untuk menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer 24 November lalu berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan mempunyai tahap keberkesanan 95% dalam mencegah jangkitan pandemik Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata laporan hasil keberkesanan vaksin Covid-19 dikeluarkan Pfizer juga telah diterbitkan di “The New England Journal of Medicine” pada 10 Disember 2020 dan kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

“Vaksin ini juga telah mendapat ‘Emergency Use Authorization’ daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin tersebut di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

“Proses ini telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA. Bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama 2021 merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20% atau 6.4 juta rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy menjawab soalan yang dikemukakan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta kerajaan untuk menyatakan kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh imuniti.

Lim juga ingin tahu bilakah ia akan dilaksanakan dan jaminan perubatan ke atas kesan sampingan negatif agar meyakinkan rakyat menerima dua dos dengan selamat.

Menurut Khairy, kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna.

Tambahnya, JKJAV yang dipengerusikan oleh beliau sendiri itu ditubuhkan bagi menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin Covid-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia

“Selain vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti Covax yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10% populasi negara.

“JKJAV ketika ini sedang mempertimbangkan calon-calon vaksin lain yang berada di fasa 3 ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok (herd immunity) sehingga 70% jumlah populasi negara. Pengumuman mengenai ini dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles