Sunday, May 9, 2021

Tiada pihak ketiga hadir tuntut harta Najib, Rosmah dan 16 lain

Notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan pihak pendakwaan membolehkan pihak ketiga hadir di mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Other News

Tiada pihak ketiga berkepentingan hadir ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bagi menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta 16 pihak lain.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu pemberita, mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini bagi kehadiran mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta sitaan kes itu.

“Sebelum ini ada pihak ketiga hubungi mahkamah (berhubung tuntutan ke atas harta sitaan) dan mahkamah minta mereka hadir hari ini, namun sehingga pukul 11 pagi ini tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membolehkan pihak ketiga hadir di mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Menurut Faten Hadni, mahkamah seterusnya menetapkan 26 Mac depan untuk pendengaran kes itu.

“Pihak-pihak diperintah untuk memasukkan hujahan bertulis masing-masing iaitu pendakwaan selewat-lewatnya 15 Jan tahun depan, semua responden untuk membalas selewat-lewatnya 8 Februari tahun depan dan selewat-lewatnya 1 Mac tahun depan untuk pihak pendakwaan membalas hujahan responden,” katanya.

Pihak pendakwaan sebelum ini menfailkan notis usul bagi memohon untuk melucut hak terhadap harta-harta tersebut dan menamakan Najib, Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan RM21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles