Friday, June 18, 2021

Polis terima 3 laporan individu dakwa diugut pegawai SPRM

Beberapa perkara perlu dipastikan kerana berdasarkan siasatan awal, banyak persoalan perlu dirungkai terlebih dahulu berhubung ketiga-tiga laporan polis itu.

Other News

Polis menerima tiga laporan berhubung seorang ahli perniagaan yang mendakwa menerima ugutan daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan kes Macau Scam.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, kes itu sedang dalam siasatan, dan ada beberapa perkara yang perlu dipastikan kerana berdasarkan siasatan awal, banyak persoalan perlu dirungkai terlebih dahulu berhubung ketiga-tiga laporan polis itu.

“Isnin atau Selasa minggu depan, kita (akan) tahu hala tujunya (perkembangan kes ini),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata pada mulanya polis melihat ada unsur-unsur berkaitan pemerasan dan fitnah berkaitan kes itu, dan beliau mengarahkan timbalan pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman untuk mengkaji isu itu dengan lebih mendalam.

“Kita tidak mahu membuang masa kerana laporan dibuat yang mendakwa berlakunya beberapa perbuatan salah laku ini (didapati) lebih kepada perbalahan antara dua orang yang pernah menjalankan perniagaan,” katanya.

Baru-baru ini, SPRM membuat laporan polis berhubung tohmahan seorang ahli perniagaan terhadap pegawai agensi itu, kononnya beliau diugut pegawai SPRM berkaitan siasatan kes Macau Scam, baru-baru ini.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Hamid berkata polis menahan seorang lelaki yang mengugut akan membunuh ketua polis negara baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata individu itu sudah dibebaskan, selepas perbuatan itu didapati lebih kepada tindakan untuk melepaskan geram.

Pada 1 Disember lepas, PDRM dilaporkan memburu seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Hamid, dengan mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles