Wednesday, June 23, 2021

Peguam Trump, Giuliani positif Covid-19

Giuliani setakat ini menjadi individu terakhir dalam kelompok orang penting Trump yang dijangkiti virus berkenaan.

Other News

Donald Trump menerusi Twitter semalam mengesahkan peguamnya, Rudy Giuliani disahkan positif Covid-19.

“Giuliani, bekas datuk bandar New York yang hebat dan bekerja tanpa henti berdepan pilihan raya paling korup (setakat ini) dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), disahkan positif akibat virus China,” kata Trump dalam ciapannya yang menimbulkan kemarahan Beijing.

Giuliani setakat ini menjadi individu terakhir dalam kelompok orang penting Trump yang dijangkiti virus berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Giuliani menunjukkan gejala tetapi bekas datuk bandar New York berusia 76 tahun itu termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi.

Beliau sering dilihat tidak memakai pelitup muka seperti dalam filem mengenai dirinya yang disiarkan CNN pada Khamis lalu memaparkan Giuliani berbual dengan beberapa orang di Atlanta tanpa memakai pelitup muka.

Ini sekali gus menimbulkan kemungkinan pasukan peguamnya turut terdedah kepada jangkitan.

Keputusan ujian Giuliani itu diketahui ketika beliau mengetuai usaha Trump untuk membatalkan kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden pada 3 November lalu.

Jika pasukan undang-undangnya mematuhi panduan kesihatan, mereka yang terdedah Covid-19 perlu kuarantin kendiri sekurang-kurangnya seminggu namun ia akan melumpuhkan usaha Trump untuk mengubah keputusan pilihan raya itu.

Hasil ujian Giuliani itu diketahui sehari selepas Trump mengadakan perhimpunan politik pertamanya sejak pilihan raya presiden di hadapan ribuan penyokongnya di Georgia, yang sebahagian besarnya tidak memakai pelitup muka.

Beberapa individu berpengaruh yang rapat dengan Trump sebelum ini dijangkiti virus itu sejak beliau sendiri menghidapnya beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden.

Mereka termasuk isterinya Melania, anaknya Donald Jr dan Barron, setiausaha akhbarnya, beberapa penasihat, pengurus kempen dan beberapa anggota Kongres Republikan.

Kebanyakan mereka termasuk Giuliani, mencontohi Trump yang sering mengabaikan nasihat pakar kesihatan dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di Rumah Putih atau menghadiri majlis politik.

Anak lelaki Giuliani, Andrew, yang bertugas di Rumah Putih, didapati positif virus itu pada akhir bulan lalu.

Amerika Syarikat (AS) adalah negara yang merekodkan kes dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia dan menyaksikan kebangkitan mendadak akibat pandamik itu beberapa minggu lalu.

Data dikeluarkan Universiti Johns Hopkins semalam turut mendedahkan AS mencatat peningkatan kes Covid-19 dalam 24 jam dengan rekod mencecah 230,000 kes jangkitan baru.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles