- Iklan -
Berita

Kerajaan teliti pemberian kewarganegaraan anak wanita kahwin warga asing, elak dwi kerakyatan

Berdasarkan Perkara 14 (1) Perlembagaan Malaysia melahirkan anak di luar negara secara automatik anak berkenaan menjadi warganegara Malaysia.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Isu dwi kerakyatan melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti dijaga. Gambar: AFP
Isu dwi kerakyatan melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti dijaga. Gambar: AFP

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneliti pemberian taraf kewarganegaraan kepada anak wanita rakyat Malaysia berkahwin dengan lelaki asing yang dilahirkan di luar negara bagi mengelakkan berlaku kes dwi kerakyatan atau pertindihan pemberian kewarganegaraan kepada individu terbabit, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 14 (1) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana lelaki warganegara Malaysia berkahwin dengan wanita asing melalui perkahwinan diiktiraf dan teratur dan melahirkan anak di luar negara maka secara automatik anak berkenaan menjadi warganegara.

Sebaliknya, Ismail berkata jika wanita warganegara Malaysia berkahwin dengan rakyat asing dan melahirkan anak di luar negara walaupun perkahwinan itu teratur dan diiktiraf, anak itu tidak semestinya secara automatik diberi kewarganegaraan Malaysia.

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan kes di mana anak yang dilahirkan mempunyai dwi kewarganegaraan atau dua kerakyatan negara berbeza.

“Ini kerana negara lain juga mengamalkan polisi yang sama iaitu anak wanita warganegara berkenaan yang berkahwin dengan lelaki rakyat asing akan mengikut taraf kewarganegaraan bapa kanak-kanak terbabit.

“Sebab itulah kita perlu teliti dalam pemberian kewarganegeraan kepada anak wanita rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing dan dilahirkan di luar negara bagi mengelak kes pertindihan pemberian kewarganegaraan atau dwi kerakyatan kepada kanak-kanak terbabit.

“Jika kanak-kanak berkenaan belum memiliki taraf kerakyatan mengikut bapanya, maka ibu bapanya boleh membuat permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti kita pertahankan dan jaga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan kes di mana anak yang dilahirkan mempunyai dwi kewarganegaraan atau dua kerakyatan negara berbeza.

Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan Cadangan Umum Jawatankuasa (Cedaw) No 34 untuk memastikan wanita mempunyai hak kewarganegaraan yang sama rata dengan golongan lelaki terutamanya hak berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara apabila berkahwin dengan lelaki yang bukan warga negara.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan sudah lama menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah yang terbahagi kepada dua iaitu jawatankuasa induk pengurusan warga negara asing dan jawatankuasa teknikal.

Katanya, berikutan pertukaran tampuk pemerintahan di Sabah, kerajaan bercadang supaya Jawatankuasa Induk Pengurusan Pekerja Asing di Sabah akan dipengerusikan secara bersama oleh ketua menteri dan menteri dalam negeri manakala jawatankuasa teknikal pula akan dipengerusikan oleh timbalan menteri dalam negeri.

“Kedua-dua jawatankuasa ini dianggotai oleh agensi atau jabatan kerajaan persekutuan dan negeri yang terbabit dengan pengurusan warga asing di Sabah termasuklah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, polis, Majlis Keselamatan Negara serta beberapa agensi lain berkaitan.

“Kedua-dua jawatankuasa ini sentiasa mengambil langkah pro-aktif bagi menangani pelbagai isu berbangkit bagi melaksanakan pelan tindakan dirumuskan oleh suruhanjaya termasuklah berhubung isu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah.”

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan, Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang mahu KDN menyatakan apakah perancangan kerajaan dalam menangani isu kebanjiran Pati di Sabah, selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di negeri itu yang berpunca daripada Pati dari Filipina dan Indonesia.