- Iklan -
Berita

Dr Mahathir dan Pejuang akan tolak Belanjawan 2021 esok

Kesemua ahli Parlimennya menolak Belanjawan 2021 diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggesa satu belanjawan baru dibentangkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Pejuang hari ini sepakat memutuskan kesemua ahli Parlimennya menolak Belanjawan 2021 diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggesa satu belanjawan baru dibentangkan atau melakukan pindaan seperti yang dikemukakan sebelum ini.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang bagi pihak rakyat sehingga tamat penggal perkhidmatan masing-masing.

Bekas perdana menteri itu berkata, sekiranya PN tumbang kerana gagal meluluskan Belanjawan 2021, kerajaan baru boleh melakukan pindaan atau membentangkan belanjawan baru melalui satu sidang Parlimen khas yang tidak akan mengambil masa lama.

“Ini akan dapat memastikan bahawa kerajaan baru ini mempunyai kesahan (legitimacy) dan tidak dipersoalkan seperti kerajaan pintu belakang sekarang ini,” tulisnya di blognya chedet.cc hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan menjelang pengundian Belanjawan 2021 esok yang getir disebabkan majoriti tipis dimiliki kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pejuang kini tinggal berempat selepas ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menarik diri baru-baru ini.

Mereka yang mewakili parti itu di Dewan Rakyat ialah Mahathir, Mukhriz Mahathir , Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan dan seterusnya menasihatkan Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Tetapi masa sekarang, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, keadaan adalah amat luar biasa dan pengalaman pilihan raya negeri di Sabah baru-baru ini, pilihan raya umum bukanlah satu pilihan dan ia boleh membawa kemudaratan.

“Proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti,” tulisnya lagi.

Mahathir turut menegaskan, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, hal itu tidak akan menghalang kerajaan daripada menyalurkan gaji, pencen dan elaun untuk penjawat awam dan petugas barisan hadapan.