- Iklan -
Berita

Jho Low salahkan Najib dalam skandal kewangan 1MDB

Jho Low berkata, semua kelulusan berkaitan urusan 1MDB mesti mendapat persetujuan Najib Razak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho menyalahkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam skandal kewangan berbilion ringgit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggap sebagai skandal kewangan terbesar dunia.

Dokumentari penyiasatan khas Al Jazeera berjudul “Jho Low: Hunt For A Fugitive” melaporkan percubaan terdesak ahli perniagaan yang dikenali sebagai Jho Low itu untuk merundingkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia dan mengelakkan dirinya daripada masuk penjara kerana skandal kewangan 1MDB.

Dokumentari dikendalikan wartawan Mary Ann Jolley memaparkan rakaman perbualan telefon Jho Low dengan pihak berkuasa Malaysia dari Mei hingga November 2018 ketika beliau berusaha membuat perjanjian dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak dapat untuk sekurang-kurangnya bertemu dengan orang, tetapi sekarang saya berada dalam keadaan terkurung.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Ini adalah fakta yang cukup diketahui bahawa … semua kelulusan mesti dipersetujui oleh menteri kewangan,” kata Low dalam perbualan itu merujuk kepada Najib yang juga merupakan menteri kewangan sebelum Barisan Nasional (BN) dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

Low mengatakan tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun membelanjakan sejumlah besar wang untuk membeli hartanah, jet peribadi, kapal persiaran mewah dan barang kemas.

“Saya tidak percaya ada kesalahan,” kata Low dalam rakaman perbualan itu.

“Semua ini pastinya adalah pinjaman, secara langsung atau tidak langsung, tetapi, akhirnya, saya rasa sudah tiba masanya, kami ingin membantu mengembalikan aset ini sebagai balasan untuk bekerjasama dan dapat meneruskan kehidupan tanpa, anda tahu, dibicarakan.

“Saya ingin anda sampaikan jika mungkin kepada Mahathir bahawa saya benar-benar percaya bahawa perubahan dalam kerajaan memberikan peluang yang nyata untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan 1MDB ini.

“Saya komited untuk mencapainya.”

Low kemudiannya mendakwa lebih setengah bilion dolar wang 1MDB dibelanjakan bagi membeli barang kemas isteri Najib, Rosmah Mansor.

Low turut mendakwa terdapat banyak lagi barang kemas dibelikan untuk Rosmah walaupun sebelum ini Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS)memperincikan pembelian Low untuk berlian merah jambu bernilai AS$27 juta.

“Bernilai lebih setengah bilion dolar. Itu jumlah yang sangat besar,” kata Low merujuk kepada nilai barang kemas yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.

Pada 28 Julai lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.