- Iklan -
Berita

DAP gesa beri laluan kepada Umno di Gerik

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata langkah itu bertujuan mengekang risiko penularan wabak Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

DAP hari ini menggesa semua parti politik supaya mengelak daripada meletak calon dan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada Umno selepas penyandang kerusi itu Hasbullah Osman meninggal dunia semalam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata langkah itu bertujuan mengekang risiko penularan wabak Covid-19.

“Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam masa 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.

“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbullah yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Gerik meninggal dunia kerana serangan jantung di Raub, Pahang semalam.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah.

“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen Umno Gerik, Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

“Walaupun berada di sebelah pihak berlawanan, Hasbullah berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai ahli Parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,” katanya.