- Iklan -
Berita

Speaker tolak dakwaan sengaja hadkan ahli Parlimen untuk halang mengundi

Semua ahli Parlimen mempunyai masa 14 minit untuk berada dalam dewan ketika proses pengundian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika di Parlimen. Gambar: Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun ketika di Parlimen. Gambar: Bernama

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak dakwaan kononnya peraturan baru yang ditetapkan untuk persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini sengaja dirancang untuk memastikan kerajaan menang ketika proses pengundian Belanjawan 2021.

Tegasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan jelas memaklumkan semua ahli Parlimen boleh berada di dalam Dewan Rakyat ketika proses pengundian berlangsung.

Azhar berkata demikian sebagai reaksi balas kepada beberapa komen ahli politik selepas mengumumkan hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan menghadiri setiap sesi persidangan yang akan berlangsung dari 10 pagi hingga 2 petang bermula 9 November hingga 15 Disember.

Katanya 41 ahli Parlimen kerajaan dan 39 daripada pembangkang akan dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa.

Langkah itu dibuat dengan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mahu mengekang penularan Covid-19.

Tegas Azhar ia merupakan satu “pembohongan terang-terangan” apabila mendakwa tindakan itu sengaja mahu mengurangkan jumlah ahli Parlimen pembangkang ketika proses mengundi berlangsung, terutamanya bagi pengundian Belanjawan 2021.

“Ini adalah pembohongan terang-terangan dan mereka sengaja membuat dakwaan tidak berasas ini hingga menjadikan Parlimen tidak lagi dihormati,” katanya kepada MalaysiaNow, ketika ditanya mengenai tuntutan penulis blog pro-pembangkang kononnya langkah itu dirancang untuk memastikan kerajaan dengan mudah dapat meluluskan rang undang-undang dengan lebihan satu undi.

Azhar dalam pengumumannya berkata semua ahli Parlimen masih boleh hadir ke Dewan Rakyat dengan beberapa notis sebelum mengundi.

“Saya telah menyatakan dengan sangat jelas dalam pengumuman saya ketika proses pengundian, loceng akan dibunyikan dua kali selama dua minit setiap satu,” katanya.

Tegas Azhar ia merupakan satu “pembohongan terang-terangan” apabila mendakwa tindakan itu sengaja mahu mengurangkan jumlah ahli Parlimen pembangkang ketika proses mengundi berlangsung, terutamanya bagi pengundian Belanjawan 2021.

Katanya, ahli parlimen mempunyai masa 14 minit untuk hadir ke dalam dewan bagi membolehkan mereka mengundi.

“Loceng akan dibunyikan selama dua minit. Kemudian kita tunggu selama 10 minit. Selepas itu loceng akan dibunyikan selama dua minit lagi.

“Semua orang dibenarkan masuk ke dalam Dewan,” tambah Azhar.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ditugaskan untuk urusan Parlimen Takiyuddin Hassan, memaklumkan ahli Parlimen kerajaan yang dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat akan terdiri daripada 15 menteri.

Sehubungan itu Takiyuddin menjelaskan tiada ahli Parlimen yang akan dihalang daripada proses pengundian Belanjawan 2021.

“Jadi tidak ada isu kerajaan bersikap berat sebelah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok sebelum ini menerima beberapa peringatan daripada Yang di Pertuan Agong supaya semua ahli Parlimen mengenepikan fahaman politik demi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan terutama sekali bagi mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.