- Iklan -
Berita

Apa saja keputusan Umno akan dilakukan secara ‘en bloc’, kata Najib

Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur sebentar tadi berlangsung selama tiga jam diadakan untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak.
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak.

Keputusan muktamad berhubung dengan kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Agong menolak darurat akan diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini dan apa sahaja keputusannya akan dilakukan parti itu secara “en bloc”, kata Najib Razak.

Najib yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, mesyuarat ahli-ahli Parlimen gabungan itu sebentar tadi tidak membuat apa-apa keputusan.

“Keputusan muktamad akan dibuat MT malam ni. Hari ini kita sekadar buat percambahan fikiran, dengar pandangan ahli-ahli Parlimen. Dan sebagai ahli parti kita tertakluk pada keputusan parti dan kita pegang prinsip,” kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas selesai mesyuarat.

“Mesti bertindak sebagai satu blok. Ini satu daripada pandangan yang boleh dikatakan didokong oleh semua pihak.”

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur sebentar tadi berlangsung selama tiga jam diadakan untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Yang di Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Dalam kenyataan semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata keputusan itu diambil selepas memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi negara, merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Baginda turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Sementara Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin mengatakan selain isu Muhyiddin, mesyuarat ahli-ahli Parlimen BN hari ini turut berbincang mengenai perkara-perkara lain.

“Apa yang kita bincang, rata-ratanya keputusan kita tidak akan bekerjasama dengan parti yang terdahulu (Pakatan Harapan), itu sahaja keputusan contohnya pandangan ramai dalam kalangan ahli Parlimen BN adalah ‘No Anwar, No DAP’ kita kekalkan keputusan itu,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur sebentar tadi berlangsung selama tiga jam diadakan untuk membincangkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Yang di Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

Beliau yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia berkata, meskipun Agong sudah memberi amaran untuk semua menghentikan “politicking” namun dari sudut ekonomi sesuatu perlu dilakukan.

“Keadaan sekarang ini 50-50. Jadi pelabur tidak akan datang, ekonomi negara kurang baik dan yang buat keadaan begini adalah rakyat. Rakyat yang undi dulu ni kerana rakyat kena tipu.

“Keadaan hari ini rakyat yang buat keputusan tersebut, orang politik hanya nak betulkan keadaan jadi macam mana kita mahu betulkan keadaan? Ini yang kita patut bagi pandangan macam mana nak buat?

“Sekarang kita bincang apa yang terbaik untuk rakyat, sekarang ini rakyat jangan salahkan ahli politik.”

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan sama ada Muhyiddin terus disokong sebagai perdana menteri akan ditentukan dalam mesyuarat MT malam ini.

“Kita bincang apa yang berlaku sekarang ni lah. ‘Adakah ini termasuk kepimpinan Muhyiddin?’ Ada juga disebut tetapi semuanya akan dibincang dalam mesyuarat MT Umno malam ini,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu.