- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen BN tolak cadangan Najib untuk kerjasama dengan Anwar, DAP

Najib diselar majoriti ahli-ahli Parlimen BN selepas mengemukakan cadangan itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Cadangan Najib untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP ditentang hebat ahli Parlimen BN. Gambar: Bernama
Cadangan Najib untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP ditentang hebat ahli Parlimen BN. Gambar: Bernama

Mesyuarat ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menyaksikan perdebatan hangat berhubung cadangan penasihat mereka, Najib Razak untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Sumber memberitahu MalaysiaNow, berdasarkan maklumat daripada sumber peringkat tertinggi Umno, cadangan bekas perdana menteri itu menyebabkan beliau mendapat kritikan hangat daripada ahli-ahli Parlimen BN.

“Sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen Umno menyokong Najib walaupun terdapat tentangan hebat daripada yang lain,” kata sumber itu.

Mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi parti Melayu itu malam ini, yang dijangkakan akan membuat keputusan sama ada akan kekal atau tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perbincangan ahli-ahli Parlimen BN itu berkisar tentang sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin, sehari selepas Agong menitahkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat seperti dicadangkan perdana menteri.

Muhyiddin membuat cadangan itu untuk mengelakkan pilihan raya mengejut semasa musim pandemik Covid-19 selepas rayuan pegawai kanan kesihatan bagi mencegah kluster pilihan raya umum.

Terdapat kebimbangan sejumlah ahli Parlimen Umno tidak menyokong belanjawan dibentangkan bulan depan yang bakal menyaksikan kerajaan Muhyiddin tumbang dan pilihan raya terpaksa diadakan.

Titah Agong semalam memberikan peluang kepada musuh Muhyiddin untuk mengambil kesempatan, dengan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan sekumpulan kecil dalam Umno menggesanya meletakkan jawatan.

Antara ahli Parlimen anti kepada Muhyiddin dalam Umno ialah Najib bersama-sama presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Pada 16 Oktober, MalaysiaNow mendedahkan kedua-dua pemimpin terpalit dakwaan rasuah itu menulis surat kepada Agong, sebelum presiden PKR itu ke Istana Negara pada 13 Oktober.

Hujah ‘moral’ Najib

Dalam mesyuarat BN hari ini, cadangan Najib agar gabungan itu berkerjasama dengan Anwar untuk menggulingkan Muhyiddin mendapar tentangan hebat.

“Antara yang lantang membantah Najib ialah Noh Omar,” kata sumber sama kepada MalaysiaNow, merujuk kepada ahli Parlimen Tanjung Karang.

‘Mereka turut mempersoalkan Najib yang bercanggah dengan prinsip Umno untuk tidak bekerjasama dengan DAP,” tambahnya.

Bantahan lebih hebat berlaku apabila Najib mengatakan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan disebabkan hujah “moral” dan “perlembagaan.”

Najib antara lain berhujah tentang kegagalan Muhyiddin untuk mendapat perkenan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

“Seorang menteri kanan kemudiannya berhujah mengatakan Anwar juga mempunyai isu moral selepas gagal memperincikan bukti mengukuhkan dakwaannya mempunyai sokongan majoriti.”

Selepas mesyuarat BN hari ini, Najib memberitahu pemberita sebarang keputusan Umno malam ini akan dilakukan secara “en bloc”.

Nota pengarang: Dalam versi awal laporan kami, sumber kami tersilap menyatakan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz turut berada dalam mesyuarat BN. Semakan mendapati beliau tidak menghadiri mesyuarat itu. Kesilapan itu amat dikesali dan kami memohon maaf. Bagaimanapun kami pertahankan selebihnya.