- Iklan -
Berita

DAP tolak kerjasama dengan Umno ketika wujud dakwaan pertemuan sulit dengan pemimpin parti Melayu itu

Ini adalah kenyataan kedua dalam tempoh seminggu daripada seorang pemimpin kanan DAP, menguatkan lagi Anwar tidak mempunyai majoriti kukuh.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Facebook
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook. Gambar: Facebook

DAP hari ini mempersoalkan gesaan “gencatan politik” pemimpin Umno, dengan berkata mereka tidak pernah bekerjasama dengan parti Melayu itu untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, partinya sentiasa komited dengan perjanjian yang ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH), dan sokongan terhadap presiden PKR itu hanya terkandung mengikut kerangka perjanjian itu.

“Untuk rekod, tidak ada seorangpun pemimpin DAP pernah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan baru,” kata Loke dalam satu kenyataan, sehari selepas Zahid membuat “Pusingan U” menggesa ahli Umno untuk memperkukuhkan kerajaan PN.

Minggu lepas, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, menulis surat secara sepihak kepada Istana Negara untuk menyatakan sokongan terhadap rancangan Anwar mengambil alih Putrajaya.

Di dalam surat itu Zahid mendakwa “sejumlah ahli Parlimen Umno” akan menyokong Anwar menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengejutkan ramai ahli-ahli Umno dengan beberapa pemimpin membidas tindakan ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyokong pihak luar.

MalaysiaNow turut melaporkan Zahid menerima tekanan daripada pemimpin-pemimpin kanan Umno semalam, sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan “gencatan politik”.

Spekulasi pertemuan sulit

Kenyataan Loke hari ini yang menolak sebarang kerjasama dengan Umno hadir selepas timbul spekulasi mengenai seorang pemimpin DAP menghadiri satu perjumpaan bersama Zahid dan seorang ahli Parlimen veteran Umno.

Satu sumber Umno memberitahu MalaysiaNow pertemuan itu diadakan pada 16 Oktober lalu – tiga hari selepas pertemuan kurang 30 minit Anwar dengan Yang di Pertuan Agong dan diaturkan oleh Najib.

MalaysiaNow sebelum ini menghubungi Loke mengenai spekulasi itu, namun pemimpin DAP itu enggan memberikan sebarang komen.

Di dalam surat itu Zahid mendakwa “sejumlah ahli Parlimen Umno” akan menyokong Anwar menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengejutkan ramai ahli-ahli Umno dengan beberapa pemimpin membidas tindakan ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyokong pihak luar.

“Tiada pertemuan seperti itu, tiada apa yang nak dikomen,” kata bekas menteri pengangkutan itu.

Seorang pembantu kepada Zahid turut menafikan dakwaan itu selepas dihubungi MalaysiaNow, senada seperti “ahli Parlimen veteran Umno,” mengenai perkara tersebut.

Kenyataan Loke hari ini adalah yang kedua dalam minggu ini daripada seorang pemimpin kanan DAP menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Kedua-dua kenyataan itu seolah-olah mengesahkan Anwar tidak pernah mempunyai “majoriti kukuh” seperti didakwanya, kerana majoriti itu perlu melibatkan 42 ahli Parlimen DAP dan 39 ahli Parlimen Umno.

Walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, DAP sebelum ini pernah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno terutama jika ia melibatkan Najib dan Zahid.

Kedua-dua pemimpin kerajaan Barisan Nasional sehingga tahun 2018 itu berdepan 79 pertuduhan rasuah, dan menjadi sasaran dalam ceramah-ceramah DAP menjelang pilihan raya 2018.