- Iklan -
Berita

871 kes baru Covid-19, 701 pesakit pulih hari ini

Jumlah pesakit yang sembuh adalah angka tertinggi yang pernah dilaporkan dalam satu hari.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kes jangkitan baru meningkat sedikit berbanding semalam.
Kes jangkitan baru meningkat sedikit berbanding semalam.

Sebanyak 701 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan ia jumlah kes sembuh tertinggi yang pernah dilaporkan dalam satu hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, bagi kes jangkitan baru Covid-19, sebanyak 871 kes dicatatkan, lebih tinggi daripada jumlah kes yang dilaporkan semalam iaitu 869 kes.

Sebanyak 866 merupakan jangkitan tempatan, baki lima kes adalah kes import.

Katanya, angka kes kumulatif kini menjadi sebanyak 20,489 dengan 7,049 kes aktif yang sedang menerima rawatan di hospital.

“Daripada jumlah kes aktif itu 86 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 28 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes kematian baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 187 orang atau 0.91%.

Memperincikan jumlah jangkitan baru hari ini, Noor Hisham berkata, Sabah masih mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 702 kes.

“Bagi Selangor pula sebanyak 77 kes baru dilaporkan diikuti Pulau Pinang (45); Perak (10); Kedah (9); Labuan (9); Kuala Lumpur (7); Sarawak (5); Negeri Sembilan (3); Terengganu (2) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Johor,” katanya.