- Iklan -
Berita

Berfikir di luar kotak ketika sekolah ditutup kerana Covid-19, kata ahli akademik

Ini bagi memastikan sektor pendidikan tampil lebih baik dan berkualiti sehingga pandemik itu berakhir.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Guru dan pelajar sama-sama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. Gambar: AFP
Guru dan pelajar sama-sama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. Gambar: AFP

Seorang ahli akademik menyeru para pendidik untuk menginovasi cara penyampaian dan pembelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sama ada melalui alat komunikasi atau secara konvensional seperi berhubung terus dengan pelajar bagi meningkatkan keberkesanan.

Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tidak dinafikan sesi pembelajaran dalam talian adalah kaedah terbaik dalam tempoh pandemik, akan tetapi pendidik tidak boleh bergantung kepada satu kaedah sahaja.

“Ia hendaklah juga mengandungi cara lain yang berbentuk manual, seperti menyampaikan bahan pelajaran terus kepada pelajar dan mengutip tugasannya semula,” kata Teo kepada MalaysiaNow.

“Ini sudah tentu membebankan pihak sekolah, tetapi inilah antara cara terbaik apabila ketiadaan perkakas dan kemudahan internet pada sesetengah pelajar”.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah terbaik untuk memastikan sektor pendidikan tampil lebih baik dan berkualiti sewaktu dan selepas pandemik Covid-19 yang sudah “melumpuhkan” ekonomi di serata dunia.

Teo yang pernah menganggotai Jawatankuasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berkata, tiada gunanya sekiranya golongan pendidik hanya membimbangi kesan Covid-19 ke atas pendidikan tanpa mahu berkorban di saat genting sebegini, mengambil kira mereka juga merupakan petugas barisan hadapan untuk memerangi kesan pandemik ke atas sektor pendidikan.

“Perkara paling penting kini ialah pendidikan perlu terus diberikan, terutamanya di peringkat sekolah, walaupun dalam keadaan yang tidak kondusif.”

“Ini sudah tentu membebankan pihak sekolah, tetapi inilah antara cara terbaik apabila ketiadaan perkakas dan kemudahan internet pada sesetengah pelajar”.

Kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah yang menyaksikan sekolah dan institusi pengajian kembali ditutup dan kelas dalam talian dilaksanakan semula.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim berkata, beberapa kaedah perlu dibuat bagi memastikan pendidikan berupaya mencapai taraf yang sewajarnya meskipun sedang bergelut dengan penularan Covid-19.

Katanya, peruntukan besar perlu dikeluarkan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mempertingkatkan jaringan internet yang mencukupi dan boleh capai di seluruh negara.

Katanya, keupayaan mendapatkan liputan internet membolehkan para pelajar tidak lagi ketinggalan dan mampu mencapai penanda aras yang ditetapkan sekolah atau pusat pengajian masing-masing.

Noor Azimah berkata, cabaran seterusnya ialah memastikan pelajar di peringkat sekolah dan pengajian tinggi mempunyai alat peranti yang membolehkan mereka terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna tanpa gangguan.

“Siapakah yang dapat menanggung perbelanjaan alat peranti untuk mereka yang tidak berkemampuan,” katanya kkepada MalaysiaNow.

Beliau menegaskan kaedah yang perlu diberikan keutamaan adalah memfokuskan pembelajaran kepada subjek-subjek teras di sekolah dengan dua kali ganda waktu kelas diberikan kepada mata pelajaran tersebut.

“Manakala guru-guru lain perlu menjadi guru bantu kepada guru subjek teras.”