- Iklan -
Berita

Tiada lagi ruang Dr Mahathir bekerjasama dengan Muhyiddin

Mahathir turut mengakui perpecahan dalam pembangkang tidak memberi kekuatan untuk mengalahkan Muhyiddin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Gambar: Facebook
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Gambar: Facebook

Dr Mahathir Mohamad mengatakan tidak dapat lagi bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin kerana perdana menteri sudah meninggalkan prinsipnya.

Bekas perdana menteri itu berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menerapkan strategi yang sama seperti digunakan Najib Razak.

“(Muhyiddin) menerapkan strategi seperti digunakan oleh Najib, untuk melemahkan semua pihak yang menentangnya.

“Bagaimana saya dapat menerima Muhyiddin seperti itu?” katanya seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times.

Bekas perdana menteri selama dua kali itu turut berkata, Muhyiddin bersedia bekerjasama dengan Najib kerana “politik lebih penting daripada prinsip”.

Muhyiddin merupakan bekas timbalan perdana menteri ketika Najib menjadi perdana menteri.

Selain itu, beliau juga merupakan timbalan presiden Umno sebelum dipecat pada 2016 kerana mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib.

Dalam wawancara bersama akhbar itu, Mahathir bagaimanapun mengakui pembangkang tidak kuat pada ketika ini dan sukar untuk mengalahkan mengalahkan Muhyiddin.

Pembangkang pada ketika dilihat berpecah berikutan pemilihan calon perdana menteri.

Baru-baru ini Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengatakan beliau mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Anwar belum membuktikan dakwaan itu setakat ini dan belum diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan jumlah sokongan diterimanya.

“Anwar mempunyai banyak orang yang menentangnya. Sekiranya saya tidak diterima, ramai (penyokong saya) akan menarik diri sehingga dia tidak akan mendapat majoriti.

“Sekarang dia mendakwa dia mendapat sokongan 20 hingga 30 Ahli parlimen tetapi ramai yang tampil menafikannya,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.