Tuesday, November 30, 2021

Dua bekas menteri, seorang terkait rasuah sasar jawatan duta?

Langkah ini akan menyebabkan dasar melantik diplomat terlatih kementerian luar berakhir.

Other News

Khabar angin bertiup dalam kalangan komuniti diplomatik terdapat percubaan daripada beberapa ahli politik termasuk bekas menteri, melobi untuk dilantik sebagai duta di ibu kota negara Barat, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya tiga menteri yang berkempen secara senyap untuk mendapatkan jawatan duta termasuk ke Amerika Syarikat dan Switzerland.

Langkah ini sekiranya dilaksanakan, akan menghentikan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk tidak melantik mereka yang tidak terlatih sebagai duta.

Sumber di Wisma Putra, tempat terletaknya kementerian luar Malaysia, mengesahkan kepada MalaysiaNow terdapat percubaan untuk mengubah polisi berkenaan.

“Ya, tetapi apa yang kami difahamkan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin komited untuk meneruskan polisi itu,” kata sumber itu.

Sumber di Putrajaya apabila dihubungi mengesahkan masih belum ada keputusan dibuat.

“Kabinet pada ketika ini tidak bermesyuarat disebabkan beberapa anggota diminta untuk kuarantin,” katanya.

Pada Julai 2018, menteri luar yang baru dilantik Saifuddin Abdullah mengumumkan duta hanya akan dilantik “daripada kalangan pegawai yang berminat serta tahu berkenaan tugas sebagai duta.”

“Mesti dalam kalangan diplomatik yang terlatih dan mampu menjalankan tugas mereka dengan baik,” katanya pada ketika itu.

Dasar kerajaan PH itu mendapat penentangan daripada duta lantikan politik beberapa bulan selepas mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Pada ketika itu, PH merancang untuk menggantikan mereka dengan diplomat terlatih, langkah yang dialu-alukan oleh komuniti diplomatik.

Antara duta lantikan politik semasa zaman pentadbiran Najib Razak ialah Zahrain Mohamed Hashim (Indonesia), Bernard Dompok (Vatican), Blanche O’Leary, isteri kepada Presiden MyPPP M Kayveas (Finland), Zulhasnan Rafique (Amerika Syarikat) dan Hasan Malek (Cambodia).

Antara pemimpin politik terkemuka yang menjadi diplomat semasa zaman Barisan Nasional (BN) adalah bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam yang menjadi duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jamaluddin Jarjis ke Washington.

MalaysiaNow turut difahamkan, antara bekas menteri yang melobi untuk dilantik sebagai duta sedang berdepan perbicaraan rasuah. Bagaimanapun MalaysiaNow masih belum dapat mengesahkannya.

“Akan tetapi belum dapat dipastikan menjadi duta dapat menjamin beliau dibebaskan dari pertuduhan itu,” kata sumber dalam Umno.

Bekas duta, Dennis Ignatius apabila dihubungi memberi amaran sebarang usaha menggembalikan duta lantikan politik akan menyebabkan karier diplomat terlatih Malaysia berakhir.

“Jika benar, saya tidak terkejut,” kata bekas duta Malaysia ke Kanada dengan 36 tahun pengalaman dalam dunia diplomatik kepada MalaysiaNow.

“Kerajaan ini tidak tahu malu dan mencari apa sahaja yang boleh diberikan kepada kroni dan penyokong. Keputusan ini akan menyebabkan institusi kerajaan diambil alih secara politik menyebabkan hilang integriti, kredibiliti dan profesionalisme.

“Ini bermakna berakhirnya karier diplomat terlatih dan dasar luar negara akan dipolitikkan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles