- Iklan -
Berita

Dr Mahathir tak percaya Anwar ada cukup sokongan

Tanpa menyenaraikan nama bermakna tiada bukti, kata bekas perdana menteri.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad semasa wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad semasa wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.

Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak percaya Presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai cukup sokongan ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), seminggu selepas bekas timbalannya itu membuat dakwaan.

Mahathir yang mencipta rekod dunia apabila dilantik menjadi perdana menteri buat kali kedua pada usia 92, berkata ini bukan kali pertama ahli Parlimen Port Dickson itu melakukan dakwaan sedemikian.

“Yelah, dia kata,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow.

“Tapi dia tak bagi nama. Dia kata kononnya bila dah jumpa Agong dia boleh bagi nama

“Kepada kita tak boleh bagi nama. Tak bagi nama, saya tak percaya lah.”

Anwar minggu lalu mendakwa sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Pejuang, parti barunya yang ditubuhkan pada Ogos bersama beberapa bekas ahli Parlimen yang dipecat daripada Bersatu tidak akan bersama dengan langkah Anwar kali ini.

“Sekarang dia kata cukup bilang nak bentuk kerajaan pun saya tak termasuk,” katanya.

Menurut Mahathir, sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu menggembalikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau sepatutnya menjadi calon perdana menteri.

“Pasal saya perdana menteri pada masa itu. Tapi mereka pilih untuk calonkan Anwar,” katanya.

“Saya cadang saya nak jadi perdana menteri untuk enam bulan saja. Sebab saya ada kerja yang saya nak ‘perabis’. Saya minta enam bulan ja, itu pun ditolak.”

PH yang terdiri daripada PKR, Bersatu, DAP dan Amanah menewaskan Barisan Nasional (BN) dipimpin Najib Razak pada 2018, dengan berkempen menggunakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB.

Pada ketika itu Mahathir mengetuai PH yang sempat memerintah Malaysia selama 22 bulan.

Sepanjang menjadi perdana menteri, Mahathir seringkali didesak pemimpin PKR dan segelintir pemimpin DAP agar meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Akhirnya pada Februari, Dr Mahathir meletakkan jawatan selepas PH hilang majoriti di Parlimen apabila Bersatu dan sekumpulan ahli Parlimen diketuai bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertindak keluar dari gabungan itu.

Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik menjadi perdana menteri selepas majoriti ahli Parlimen dari Bersatu, Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah menyokongnya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).