- Iklan -
Berita

32% keluar mengundi di Sabah setakat 11 pagi

Beliau berkata sehingga kini, perjalanan proses pengundian di kawasan zon merah Covid-19 berjalan seperti biasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi terpaksa membawa anak semasa mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya hari ini. Gambar: Bernama
Seorang pengundi terpaksa membawa anak semasa mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya hari ini. Gambar: Bernama

Peratusan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga jam 11 pagi adalah sebanyak 32 peratus sejak pusat mengundi dibuka dari jam 7.30 pagi tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang ini.

“Saya berharap pengundi keluar mengundi kerana masa masih panjang. Ada kawasan tutup pukul 2, pukul 3 dan pukul 5.

“Pengundi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dan paling penting jangan lupa bawa kad pengenalan,” katanya ketika ditemui media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, di Kota Kinabalu.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru pada PRN ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5 petang ini.

Ghani berkata sehingga kini, terdapat satu insiden kebakaran kecil membabitkan sebuah kipas di sebuah pusat pengundian di sebuah sekolah, di Sandakan, yang berkemungkinan kerana masalah pendawaian, namun situasi terkawal.

“Insiden kebakaran dalam dewan yang menempatkan saluran 1 dan 2. Difahamkan kipas angin meletup sekitar pukul 8.40 pagi. Anggota bomba memadamkan kebakaran itu. Proses mengundi tergendala lebih kurang 20 minit,” jelasnya dan menambah proses pengundian berjalan seperti biasa kemudian.

Beliau berkata selain itu terdapat satu barung panas parti politik yang terletak berdekatan pusat pengundian dirobohkan SPR kerana melanggar peraturan pilihan raya. Butiran perkara itu tidak diperolehi.

Ghani berkata ada juga bendera daripada sebuah parti yang terpaksa dikeluarkan pihaknya kerana diletakkan berdekatan dengan pusat mengundi.

Dalam pada itu, beliau memuji pematuhan SOP Covid-19 yang dikendalikan Kementerian Kesihatan bagi melicinkan perjalanan proses pengundian di semua pusat mengundi seluruh negeri.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana sentiasa memberikan nasihat kepada pengundi di laluan keluar masuk pengundian, supaya tidak berlaku pertembungan antara satu sama lain. Ini satu kerjasama baik dengan KKM dan mereka bersedia setiap masa di khemah yang kita siapkan bagi menangani mereka yang bergejala COVID-19,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, perjalanan proses pengundian di kawasan zon merah Covid-19 berjalan seperti biasa.

“Setakat ini tiada laporan diterima,” katanya menjawab pertanyaan sama ada terdapat kekurangan pengundi keluar mengundi di zon tersebut.

Kelmarin, KKM memaklumkan terdapat empat zon merah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna susulan peningkatan kes COVID-19.