- Iklan -
Berita

Hukuman alternatif, pendidikan mampu jimatkan dana negara untuk banduan, bina penjara

Kira-kira RM230 juta dibelanjakan kepada Jabatan Penjara untuk kos makanan banduan bagi tempoh satu tahun tidak termasuk bayaran dan peruntukan lain.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin (kiri) melihat aktiviti pembuatan roti para banduan Penjara Kajang selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang pada 25 Ogos 2020. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin (kiri) melihat aktiviti pembuatan roti para banduan Penjara Kajang selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang pada 25 Ogos 2020. Gambar: Bernama

Ketika negara-negara maju sedang menutup dan mengurangkan operasi penjara serta bilangan banduan dengan memperkenalkan hukuman alternatif dan mempunyai sistem pendidikan yang baik, Malaysia membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun kepada Jabatan Penjara.

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, hukuman alternatif kepada hukuman penjara amat digalakkan bagi membentuk dan merubah diri pesalah secara holistik dan berupaya memberikan penyesalan terhadap sesuatu kesalahan yang pernah dilakukan seseorang individu.

“Dan perubahan itu boleh dilakukan di tengah- tengah masyarakat tanpa pengasingan diri seseorang pesalah (dalam penjara),” katanya kepada MalaysiaNow.

Hukuman alternatif merujuk kepada bentuk hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah selain mengurung seseorang dalam penjara.

Sebahagian negara luar menggunakan istilah “alternative sactiones” atau sekatan alternatif seperti bayaran denda, pemulihan keadilan (restorative justice) seperti kerja komuniti mengikut tempoh jam berdasarkan sabitan kesalahan seseorang atau tiada hukuman sama sekali.

Sejak tahun 2004, jumlah banduan di Sweden menurun dari 5,722 ke 4,500 daripada populasi 10 juta penduduk selepas melaksanakan hukuman alternatif.

Pada tahun 2013, dilaporkan empat daripada 56 buah penjara negara itu ditutup dan beberapa penjara lain diarah henti beroperasi.

Sementara New Zealand pula berhadapan krisis kehilangan kerja bagi kira-kira 260 kakitangan selepas 3 penjara utama negara itu ditutup.

Penjara-penjara yang terletak di Waikeria, Tongariro-Rangipo dan Rimutaka diarahkan henti operasi pada tahun 2015.

Berbeza di Malaysia, sejak 2016 dilaporkan kerajaan merancang untuk membina lebih banyak penjara baru di seluruh negara termasuk di Sibu, Sarawak. Sehingga kini, terdapat 27 penjara di seluruh negara iaitu 18 di Semenanjung Malaysia dan 9 lagi di Sabah dan Sarawak.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata terdapat sejumlah 63,048 orang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di seluruh negara berdasarkan statistik Jabatan Penjara setakat 17 Ogos lalu.

Dengan jumlah itu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM630,480 sebulan dan dalam masa setahun hampir RM230 juta untuk kos makanan penghuni penjara di Malaysia tidak termasuk perbelajaan lain di Jabatan Penjara.

Pada tahun lalu, Belanjawan 2020 memperuntukkan RM16.9bilion kepada KDN dengan RM20 juta diperuntukkan khas kepada usaha mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad pula berkata, kerajaan seharusnya memperuntukkan belanjawan yang lebih kepada sektor pendidikan menyebabkan negara berhabis duit kepada golongan banduan dan penjara.

Katanya, sekiranya pelaburan pendidikan benar-benar dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti moral, etika, kebijaksanaan sumber manusia dan integriti dalam diri pelajar, kemungkinan besar kadar jenayah akan dapat dikurangkan.

Katanya, lebih baik jika duit berbilion ringgit menguruskan banduan dan penjara dari awal lagi digunakan untuk pelaburan pendidikan. Misalnya, jika mahukan pendidikan yang berkesan, perlu disediakan guru yang hebat.

“Jadi, bayaran gaji yang lebih menarik dan tempat kerja yang lebih selesa perlu diberikan.

“Selain itu, kecilkan bilangan pelajar di dalam bilik darjah supaya dapat belajar dengan selesa. Dengan ini, bermaksud lebih banyak wang diperlukan untuk membina bilik darjah dan sekolah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Untuk rekod, di semenanjung Malaysia, Selangor mencatat jumlah penghuni penjara paling tinggi seramai 12,259 orang, diikuti Perak seramai 6,302 orang dan Johor seramai 5,861 orang.

Kedah pula menempatkan seramai 5,311 orang, diikuti Melaka seramai 4,774 orang.

Sementara itu, terdapat 4,571 orang penghuni di negeri Pahang, Kelantan 4,306 orang diikuti Pulau Pinang 4,231 orang dan 3,131 orang di negeri Terengganu.

Terdapat 1,665 orang di Negeri Sembilan dan Perlis 1,392. Manakala penjara zon Sabah dan Sarawak masing-masing adalah berjumlah 5,962 dan 3,283 orang.