- Iklan -
Berita

2 lelaki Melayu menanti maut di sebalik persoalan etnik dalam hukuman mati Singapura

90% yang sedang menanti hukuman mati di Singapura adalah etnik Melayu dan India yang lebih kurang 20% daripada populasi negara itu.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Moad Fadzir Mustaffa bersama keluarganya (kiri) dan Syed Suhail Syed Zin adalah antara yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura.
Moad Fadzir Mustaffa bersama keluarganya (kiri) dan Syed Suhail Syed Zin adalah antara yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura.

Keseimbangan dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura kelihatan tidak berlaku dalam sistem keadilan republik itu apabila statistik menunjukkan hukuman berat kebanyakannya terhadap etnik minoriti.

Ini boleh dilihat berdasarkan fakta 90% yang sedang menanti hukuman mati di penjara republik itu adalah etnik Melayu dan India yang lebih kurang 20% daripada populasi negara itu.

“Ketika ini 55 orang sedang menanti hukuman mati di Singapura di mana 30 adalah Melayu Singapura, 20 India dan 5 Cina,” kata seorang aktivis Singapura kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Difahamkan, daripada 20 etnik India yang dijatuhkan hukuman mati, 15 adalah rakyat Malaysia.

Singapura tidak mengeluarkan statistik rasmi tentang banduan yang menanti hukuman mati akan tetapi ia dikeluarkan oleh aktivis dan peguam.

Terdapat 13% etnik Melayu di Singapura manakala etnik India pula sebanyak 7%.

Ini berlaku ketika pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International membantah hukuman mati terhadap Syed Suhail Syed Zin kerana memiliki 38.84 gram heroin pada 2016. Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap sesiapa yang ditangkap membawa lebih 15 gram heroin.

Surat tulisan tangan Syed Suhail kepada peguamnya M Ravi.

Seperti hukuman mati yang dijatuhkan sebelum ini, pengkritik mempersoalkan cara hari terakhir Syed Suhail diumumkan.

Keluarganya yang tinggal di Malaysia, hanya diberitahu seminggu sebelum hari hukuman dijatuhkan pada 14 Sept bagi mempersiapkan urusan pengebumian.

“Tiada elaun diberikan kepada mereka untuk datang dari Malaysia sebelum hukuman dijatuhkan pada ketika sekatan Covid-19 sedang berjalan,” kata Think Center, sebuah pertubuhan yang lantang mengkritik polisi pemerintah Singapura.

Peguam M Ravi, dikenali kerana lantang menentang hukuman mati dan mengambil kes berprofil tinggi yang menarik perhatian disebabkan isu hak asasi manusia mewakili Syed Suhail dan seorang lagi Moad Fadzir Mustaffa – yang akan dijatuhkan hukuman mati Khamis ini (24 Sept).

Ravi baru-baru ini mengadu pihak berkuasa penjara menyebarkan komunikasi peribadi banduan hukuman mati kepada Jabatan Peguam Negara ketika prosiding kehakiman untuk membatalkan hukuman mati itu masih berjalan.

Ravi berkata, antaranya komunikasi peribadi Syed Suhail dan keluarganya. Ini turut mengundang bantahan daripada Amnesty International.

Nasib Syed Suhail dan Fadzir sekarang berada di mahkamah tertinggi Singapura di mana rayuan mereka untuk menangguhkan hukuman mati akan didengar.

Surat daripada pihak berkuasa penjara kepada keluarga Moad.

Akan tetapi pengalaman lepas tidak menunjukkan keputusan positif terhadap rayuan bagi keluarga pesalah yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan melibatkan dadah.

Pada Mei tahun ini, rakyat Malaysia berumur 37 tahun , Punithan Genasan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati secara dalam talian melalui sidang video Zoom.

Beliau didakwa kerana memiliki 28.5 gram heroin pada 2011 yang mempunyai kaitan antara Malaysia dan Singapura. Pihak berkuasa Malaysia mengekstradisi Punithan ke Singapura pada 2016.

Berdepan dengan pelbagai kemungkinan, Ravi bekerja keras untuk membela Syed Suhail dan Fadzir.

Ravi menuntut audit bebas tentang bagaimana komunikasi antara anak guam dan peguam dimiliki pihak pendakwaan kerajaan yang menggunakannya di mahkamah.