- Iklan -
Rencana

Muhyiddin dahulukan amanah berbanding kuasa politik

Bagi Muhyiddin jawatan disandang bukan suatu kemegahan, sebaliknya datang dengan bebanan tanggungjawab yang berat.

Azizi Ismail
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika kenderaan rasmi tiba di pintu utama Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika kenderaan rasmi tiba di pintu utama Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

Kata orang tua-tua: “Nak tahu eloknya orang, tanyalah kawan, nak tahu tidak eloknya orang, tanyalah lawan”.

Benar sungguh kata-kata itu dan ia terpakai kepada semua, dengan apa yang disampaikan oleh kawan atau lawan itu boleh mencipta persepsi atau tanggapan kepada orang yang menjadi subjek perbualan.

Baik atau buruk kata-kata berkenaan bergantung kepada orang yang ditanya. Jika mereka itu rakan, besar kemungkin segala yang baik akan diluahkan dan jika yang ditanya itu lawan, buruklah jawapannya.

Persepsi yang tercipta boleh menaikkan seseorang itu jika ia berpunca daripada kata-kata atau maklumat yang baik, namun boleh menjatuhkan jika apa yang disampaikan semua negatif belaka.

Dalam politik, persepsi adalah antara elemen sangat penting yang boleh menyebabkan pemimpin atau partinya dihormati dan menjadi pilihan atau jika sebaliknya, boleh mendatangkan rasa jengkel atau kebencian.

Di negara kita, ada pemimpin dan kerajaannya jatuh kerana gagal mengawal persepsi buruk yang dimainkan, namun lebih ramai yang berundur kerana pendirian dan prinsip peribadi yang tidak disukai rakan atau lawan.

Dalam politik dan di negara mengamalkan demokrasi berparlimen seperti Malaysia, kerajaan dibentuk berdasarkan majoriti yang ada di Dewan Rakyat, lebih tepat lagi sokongan majoriti daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen yang menang pilihan raya umum.

Perdana menteri pula dipilih secara konsensus dalam kalangan parti yang mempunyai majoriti walaupun sokongan itu bukan datang daripada parti komponen, asalkan lebih banyak daripada pakatan pembangkang walaupun ia datang dari parti yang pernah menjadi lawan sekali pun.

Jika sokongan itu ditarik balik sehingga jumlah majoriti dimilikinya di Dewan Rakyat disangsikan, maka perdana menteri harus berundur, meletak jawatan dan menunggu sama ada wujud kumpulan lain yang mempunyai majoriti atau andai mahu jalan lebih mudah, membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum.

Itu yang berlaku kepada Muhyiddin Yassin, perdana menteri kelapan yang terpaksa melepaskan jawatan akibat permainan politik walaupun menjadi kesayangan kerana prinsip dan pendiriannya yang merendah diri serta prihatin yang terserlah melalui segala macam bantuan disalurkan kepada rakyat yang terjejas akibat ancaman pandemik Covid-19.

Enam tahun lalu, beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri kerana mempertahankan prinsip tidak berkompromi dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ketika itu tiada siapa menjangka beliau akan diangkat kemudiannya menjadi ketua di Putrajaya.

Prinsip beliau sangat mudah, ikut dan patuh sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan. Bagi beliau, jawatan disandang bukan suatu kemegahan, sebaliknya datang dengan bebanan tanggungjawab yang berat.

Apatah lagi, beliau memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pada masa sama, terus digugat dari segi politik.

Episod 2016 berulang apabila beliau sekali lagi hilang jawatan apabila berundur sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu, namun prinsipnya kekal tidak berubah, rela berkorban daripada bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang merugikan adalah kerana kita tidak dapat melihat perubahan yang tidak pernah disaksikan di negara ini melalui tawaran kerjasama rentas parti tanpa mengira ideologi yang ditawarkan Muhyiddin kepada semua parti politik di Malaysia, semata-mata untuk melindungi rakyat dan memulihkan ekonomi.

Reformasi politik juga seiring dengan apa yang sering dilaungkan oleh pembangkang, tetapi nampaknya kuasa lebih menjadi dambaan dengan harapan pemimpin mereka pula dapat perdana menteri dan parti mereka dapat membentuk kerajaan.

Azizi Ismail adalah pembaca MalaysiaNow.