- Iklan -
Rencana

Pengumuman kerajaan batal ordinan darurat dialu-alukan

Pengumuman tersebut juga melambangkan kerajaan mengotakan janji bahawa Proklamasi Darurat akan berakhir Ogos depan.

Kamarul Zaman Yusoff
4 minit bacaan
Kongsi
Sidang mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula semalam dan berakhir 2 Ogos depan. Gambar: Bernama
Sidang mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula semalam dan berakhir 2 Ogos depan. Gambar: Bernama

Sewaktu Proklamasi Darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021, jelas dinyatakan bahawa nasihat jemaah menteri kepada baginda adalah ia untuk satu tempoh terhad sahaja, iaitu ia akan berakhir pada 1 Ogos 2021.

Berbeza daripada proklamasi-proklamasi darurat yang diisytiharkan sebelum ini yang tidak mempunyai tempoh tertentu, pemberian tempoh kepada Proklamasi Darurat kali ini menafikan dakwaan bahawa ia adalah mempunyai tujuan politik.

Syukurlah, dalam tempoh Proklamasi Darurat ini, telah banyak ordinan darurat yang digubal bagi meningkatkan keberkesanan pengawalan wabak Covid-19 termasuk, ordinan bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Begitupun, kemunculan varian baru serta pelbagai kelemahan di sana sini, baik di pihak kerajaan mahupun di pihak rakyat sendiri, menjadikan wabak Covid-19 terus meluas dari masa ke semasa di sebalik usaha berterusan kerajaan menanganinya.

Masa sama, pelbagai pihak menyuarakan desakan agar Proklamasi Darurat tidak diteruskan setelah ia berakhir, ini termasuklah kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara pada 16 Jun lalu.

Ini termasuklah penegasan semula Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin bahawa sekiranya darurat diteruskan selepas 1 Ogos 2021 maka ahli-ahli Parlimen Umno akan menarik sokongan dan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi GLC daripada Umno akan meletakkan jawatan.

Nyatalah bahawa perkara ini juga menjadi tumpuan utama ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam yang bersungguh-sungguh benar mahukan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan darurat dibahaskan dan dibuat undian di Parlimen bila mereka dibenarkan berucap.

Sesungguhnya kerajaan telah melakukan perkara yang betul bila membentangkan Proklamasi Darurat dan ordinan darurat kerana peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen…”

Tumpuan berlebihan ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang ke atas usaha untuk membolehkan Proklamasi Darurat dan ordinan darurat diundi dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini menyerlahkan satu perkara yang nyata, iaitu bahawa tumpuan utama mereka meminta sidang Parlimen dilangsungkan hanyalah untuk membolehkan mereka merebut kuasa.

Pelbagai jeritan dan cemuhan yang kedengaran disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam hingga menjadikan medan mulia lebih teruk daripada pasar tidak mencerminkan peribadi dan prinsip perjuangan ke arah mendaulatkan masyarakat sivil dan beradab sepertimana yang dilaung-laungkan.

Malang sekali bila ruang Parlimen yang sepatutnya digunakan untuk memberi pelbagai idea bagi membolehkan pengawalan wabak Covid-19 dilakukan dengan lebih berkesan atau untuk membela kebajikan rakyat tidak dimanfaatkan untuk tujuan itu, tetapi sebaliknya digunakan untuk membawa agenda kepartian, termasuk mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

Sehubungan itu, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hasan, bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong menyambung Proklamasi Darurat dan untuk membatalkan kesemua ordinan darurat yang dibuat semasa Proklamasi Darurat semalam amatlah dialu-alukan.

Apa yang menghairankan ialah ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang yang sepatutnya menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Darurat dan untuk membatalkan kesemua ordinan darurat terus-terusan mencari sebab lain pula untuk mengkritiknya, kononnya ia perlu diputuskan oleh sidang Parlimen, bukan oleh kerajaan.

Seperti dijelaskan oleh Takiyuddin, tidak berbangkit lagi soal perlunya dibuat undian ke atas Proklamasi Darurat dan ordinan darurat ini setelah ia diputuskan untuk tidak diteruskan dan untuk dibatalkan, dan ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang sepatutnya memfokuskan kepada untuk lebih memantapkan Pelan Pemulihan Negara.

Tidak perlulah dibangkitkan soal kononnya Pelan Pemulihan Negara diciplak oleh kerajaan dari pihak lain kerana mana-mana inisiatif yang baik perlulah disokong, apatah lagi bila kerajaan sendiri telah menunjukkan kesediaan untuk mendengar input daripada parti-parti pembangkang, termasuk dengan menjemput mereka menyertai jawatankuasa yang terlibat.

Adalah diharapkan agar keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan darurat dan untuk membatalkan kesemua ordinan darurat ini tidak akan disalahgunakan oleh parti-parti pembangkang untuk merancakkan usaha untuk mengambil-alih kuasa, sama ada melalui pengemukaan akuan-akuan berkanun atau melalui pengemukaan undi tidak percaya.

Sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan yang akan memungkinkan berlakunya pilihan raya umum perlulah dielakkan, dan pelakunya wajarlah dicela, kerana ia akan mengganggu fokus kerajaan menangani Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat dan wabak Covid-19 pastilah akan menjadi lebih teruk jika ini berlaku.

Selaras dengan itu, pembatalan ordinan darurat perlulah disusuli dengan pembentangan rang undang-undang baru di Parlimen bagi membolehkan kandungannya dapat terus dilaksanakan manakala Proklamasi Darurat baru perlu diisytiharkan bagi menghalang pilihan raya daripada terpaksa dilangsungkan di kawasan tertentu, khasnya di Sarawak.

Apa pun, keputusan kerajaan ini adalah gambaran jelas bahawa ia adalah sebuah kerajaan yang menepati janji, bila ia memberikan jaminan bahawa Proklamasi Darurat akan berakhir pada 1 Ogos ini maka ia benar-benar tidak akan disambung, yang akur dan hormat kepada titah Raja-Raja Melayu serta yang responsif dan prihatin kepada maklum balas yang diberi oleh rakyat.

Pada masa yang sama, keputusan mutakhir kerajaan ini juga pastilah akan lebih mendatangkan kestabilan kepada politik negara memandangkan ia dengan sendirinya menutup ruang dan alasan untuk ahli-ahli Parlimen Umno menarik sokongan dan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi GLC dari Umno meletakkan jawatan.

Kamarul Zaman Yusoff adalah pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow