Wednesday, July 28, 2021

Tiba masanya untuk gencatan politik

Jika ahli politik benar hero rakyat, inilah masanya mereka yang berada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan melakukan sesuatu di luar kelaziman.

Other News

Hari ini negara sekali lagi merekodkan jumlah kes positif Covid yang tertinggi, kali ini melebihi angka 11,000. Hari mendatang ianya mungkin akan naik lagi. Rakyat terbanyak pada hari ini bukan sahaja sedang bergelut soal hidup dan mati untuk melawan musuh yang tidak kelihatan ini tetapi berjuang menguruskan soal makan minum, membayar sewa rumah, api air, minyak, pendidikan anak  dan keperluan keluarga yang lain.

Melihat hujan turun lebat pun boleh menyebabkan kita sakit dada kerana bila berlakunya banjir maka akan adalah pusat penempatan banjir dibuka dan tentunya ramai yang berteduh dipusat-pusat itu. Jika dah ramai yang berkumpul di situ maka tinggilah kemungkinan ianya akan mewujudkan lagi kluster Covid yang baru.

Makin banyak kluster, makin lambat lagilah kita dapat hidup semula seperti biasa sedangkan beban perbelanjaan makin bertambah. Demikianlah, kesan wabak ini kepada kehidupan kita, dari anak kecil yang tidak lagi bersekolah secara fizikal hinggalah  terhadap kita semua yang menyara keluarga.

Dalam senak perut melihat kenaikan kes Covid hari demi hari, kita menyaksikan sebahagian ahli-ahli politik kita yang masing-masing mengaku menjadi juara rakyat. Ada yang mengaku kabilah merekalah yang mempunyai penawar terbaik untuk membawa Malaysia keluar dari endemik ini dan tidak kurang kelihatan seperti seorang pakar kesihatan awam mengalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaku bahawa mereka punyai azimat penawar untuk mengubati negara kita yang sedang luka teruk.

Ada juga yang berwatak seperti pakar ekonomi yang mendakwa punyai ramuan paling mujarab untuk membawa rakyat bebas dari kesengsaraan ekonomi sekarang ini. Sedang kebanyakan pusat-pusat kuarantin digambarkan ibarat medan perang, sedang pusat pemberian vaksin terpaksa pula ditutup kerana menjadi kluster terbaharu covid sementara itu jugalah sebahagian besar ahli politik kita sedang giat mencaturkan arah tuju politik negara tanpa henti.

Pertarungan politik ini sebenarnya menjadi begitu gawat sejak ambang pilihanraya ke-14 dahulu dan tidak pernah tenang malahan menjadi lebih kronik kerana hari ini pertelingkahan politik ini kerap kali mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk terlibat sama merungkai permasalahan yang ada.

Menjadi lebih caca marbanya persada politik kita hari ini hingga mereka yang semalam menjadi lawan ketat hari ini menjadi kawan akrab, mereka yang dari satu kabilah yang sama berlawan pedang seolah-olah mereka dari parti yang berbeza tetapi mereka yang dari parti berlawanan bersekongkol pula menjatuhkan rakan sekutu politik mereka.

Dinamika politik Malaysia ini mengganas melangkaui pemikiran yang lazim atas satu sebab utama, siapa yang boleh meletakkan sipulan dipuncak kuasa tidak kiralah ia dari pihak sebalah mana adalah rakan dan siapa yang cuba menghalang tidak kiralah dari satu parti yang sama adalah lawan. Dahulu kala jika mereka itu dari parti yang berbeza visi dan misinya tetapi menjalin kerjasama politik, maka terus sahaja dirujuk sebagai tidur dengan bantal yang sama tetapi mimpi lain-lain.

Hari ini ianya makin jadi rojak, mereka yang dari satu puak yang punyai misi yang sama pun mimpinya lain-lain belaka. Tidak mengapalah jika ahli politik kita bermati-matian nak berpolitik sewaktu ekonomi kita kukuh, negara kita mewah dan rakyat dalam keadaan senang kerana memang itu pun yang mereka lakukan selama ini. Namun hari ini rakyat bukan sahaja susah tetapi sangat susah atau dalam bahasa marhaennya “koyak gila”.

Dalam meneruskan hidup penuh keperitan ini, sampainya hati untuk sebahagian ahli-ahli politik kita yang bergelar pemimpin atau bekas pemimpin terus-terusan memberi isyarat kepada dunia luar bahawa negara kita ini tidak lagi stabil. Akibat tingkah laku mereka juga, tiada lagi istilah kestabilan politik untuk negara kita hingga pelabur pun mula dikit-dikit menjauhkan diri dengan negara kita.

Jikalah mereka ini benar hero rakyat, inilah masanya pemimpin sama ada di dalam kerajaan atau di luar kerajaan melakukan sesuatu diluar kelaziman dengan membuktikan kehebatan mereka dengan menggunakan segala hubungan baik atau “contact” mereka untuk mendapatkan bantuan dari negara-negara sahabat atau mana-mana sumber lain tidak kiralah bantuan itu berbentuk bekalan semasa wabak Covid seperti vaksin, alat ujian Covid, tabung oksigen atau dalam bentuk aktiviti pelaburan yang boleh meningkatkan ekonomi negara kita.

Rakyat dapat menilai bahawa hebatnya pemimpin politik tersebut yang dimuliakan dengan gelaran YB kerana membawa manfaat untuk negara samada dia berada dalam kerajaan atau pun mereka yang tidak berada dalam kerajaan.

Rakyat kini teramat letih dengan suasana politik negara ditambah dengan tekanan berganda akibat masalah kesihatan dan ekonomi. Sudah tiba masanya untuk mereka memegang tampuk kuasa dan mereka yang tidak memegang kuasa berlapang dada melakukan pengorbanan dengan mewujudkan genjatan politik hinggalah negara kita dipulihkan semula. Jika benar semua kabilah mempunyai ramuan terbaik untuk menyelesaikan luka parah negara kita ini, pemegang taruh berilah ruang dan platform untuk semuanya sama-sama membantu memberi khidmat negara. Tentunya masih ada pimpinan politik yang waras dan sedar luka parah kita hari ini.

Melalui gencatan politik ini semua pihak perlu meletakkan kepentingan politik kepartian di sisi buat seketika dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara ditempat yang utama. Buat kesekian kalinya,  kasihanilah rakyat terbanyak. Sesungguhnya kita boleh bangkit semula menjadi satu negara yang hebat jika kita meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik peribadi.

Ikbal Salam adalah peguam bela & peguam cara.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles