- Iklan -
Rencana

Fahami gelandangan serta beri perhatian yang lebih

Tidak semua gelandangan ingin hidup dalam keadaan mereka sekarang.

Sofea Azahar
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang gelandangan sedang nyenyak tidur di kaki lima di atas jejantas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Seorang gelandangan sedang nyenyak tidur di kaki lima di atas jejantas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kita kepada pelbagai situasi yang tidak jangka.

Kedaaan itu telah menyebabkan semakin ramai yang kehilangan pekerjaan, mengalami kekurangan dalam pendapatan dan terjejas kesihatan mental kerana persekitaran yang tertekan.

Ramai juga yang telah hilang tempat tinggal dan kini menjadi gelandangan.

Oleh itu, tindakan yang sewajarnya harus diambil kerana perhatian yang diberikan kepada golongan gelandangan ini masih tidak mencukupi.

Di negara ini, kajian lepas menyatakan terdapat tiga definisi yang sesuai untuk menggambarkan gelandangan: kumpulan terpinggir, ketidakmampuan untuk mengakses perumahan yang menyebabkan mereka tiada tempat tinggal atau mungkin kehilangan tempat tinggal dan berkaitan dengan perancangan dan reka bentuk rumah yang teruk atau tidak baik untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Hal-hal yang berkaitan dengan gelandangan di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Di Kuala Lumpur sahaja, sudah ada banyak kumpulan gelandangan yang tinggal di jalanan dan bergantung pada bantuan orang ramai untuk bertahan dan mengalas perut setiap hari.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Februari tahun 2016, jumlah gelandangan di Kuala Lumpur yang terkini sekitar 1,500 hingga 2,000 orang.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2010, tiga faktor utama gelandangan wujur termasuk pengangguran, kemiskinan dan pendapatan yang rendah serta warga tua tanpa ahli keluarga.

Namun, persepsi orang ramai terhadap kumpulan gelandangan ini selalunya negatif sama ada mereka ini penagih atau mereka malas untuk mencari pekerjaan.

Tetapi tidak semuanya seperti itu kerana ada sebahagian daripada mereka mungkin tidak ada pilihan selain harus meminta belas ihsan orang lain untuk terus hidup.

KPWKM mengkategorikan gelandangan sebagai orang papa manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mendefinisikan gelandangan sebagai “pembuat masalah”.

Oleh itu, kementerian dan organisasi yang terlibat perlu menetapkan definisi yang jelas untuk gelandangan bagi mengelakkan penggubalan dasar yang tidak cekap ataupun kenyataan yang tidak mencerminkan realiti sebenar tentang gelandangan.

Ketepatan statistik juga dapat membantu dalam memastikan kecukupan dari segi bilangan tempat tinggal dan rumah kerajaan yang disediakan untuk gelandangan.

Pada bulan April tahun lepas, lebih kurang 800 orang gelandangan di Kuala Lumpur telah ditempatkan di pusat gelandangan sementara semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dalam usaha membendung jangkitan Covid-19 yang merisaukan.

Memandangkan PKP 2.0 telah dikuatkuasakan dan dilanjutkan kerana bilangan kes Covid-19 yang masih tinggi, tindakan yang sama perlu diambil untuk membantu kumpulan ini kerana masih ramai orang yang berada di jalanan dan sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi jangkitan wabak.

Selain itu, usaha untuk membantu kumpulan gelandangan juga perlu menjadi tanggungjawab bersama di antara kerajaan, agensi pelaksana kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam secara keseluruhan.

Realitinya, kita dapat lihat bahawa semakin banyak NGO yang turun padang untuk memberi bantuan kepada gelandangan terutamanya sejak pandemik melanda.

Bantuan disalurkan melalui pengagihan keperluan harian seperti makanan, potongan rambut percuma, bantuan perubatan, perkhidmatan undang-undang serta kaunseling.

Jadi, terdapat keperluan penting untuk terus mengalu-alukan penyertaan aktif dan maklum balas daripada pihak NGO yang lebih berpengalaman dengan kumpulan gelandangan bagi meningkatkan kesedaran umum tentang perkara ini.

Dengan cara ini, penggubalan dasar atau bantuan boleh disesuaikan dengan mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan. Jenis pertolongan yang mereka perlukan boleh dikenal pasti dengan lebih cekap kerana setiap orang mempunyai kisah mereka yang tersendiri.

Persepsi bahawa kumpulan gelandangan adalah “pembawa masalah” atau “bantuan hanya akan mendorong mereka untuk tetap menganggur dan kekal sebagai gelandangan” atau kurang siuman harus diubah dan tidak seharusnya menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.

Isu utama lain yang dihadapi oleh gelandangan seperti gaji rendah, pengangguran dan kekurangan perumahan kos rendah juga perlu diberi perhatian.

Mereka seharusnya diberikan sekurang-kurangnya gaji minimum, pekerjaan yang stabil dan skim perlindungan rumah juga boleh dipertimbangkan.

Akhir sekali, sebuah Kumpulan Kerja Menteri perlu ditubuhkan dengan melibatkan kementerian yang berkaitan seperti KPWKM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementeri Wilayah Persekutuan.

Sebagai contoh, di United Kingdom, terdapat satu Kumpulan Kerja Menteri untuk menangani dan mencegah peningkatan gelandangan dengan menerbitkan laporan dan kertas dasar secara berkala.

Isu gelandangan mungkin tampak sebagai sesuatu perkara yang rumit untuk diselesaikan.

Namun, jika tiada usaha atau sifat empati untuk menangani hal ini, lebih ramai yang akan kekal susah dan menderita.

Sofea Azahar merupakan penganalisis penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.