Friday, December 3, 2021

Krisis pinjaman pendidikan dalam kalangan graduan Malaysia

Kesukaran menempatkan diri dalam pasaran kerja memburukkan lagi keadaan.

Other News

2020 merupakan tahun yang mencabar kerana dunia dilanda dengan pandemik Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19.

Sesungguhnya, landskap Covid-19 banyak mengubah kehidupan seharian manusia, ia secara tidak langsung turut menjejaskan kehidupan graduan yang baru sahaja tamat pengajian kerana mengalami krisis pembayaran balik pinjaman pendidikan.

Walaupun hal ini bukan merupakan satu isu baru namun Covid-19 telah menjadikannya bertambah serius, dan diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini.

Statistik utama tenaga buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran juga meningkat sebanyak 3.9% pada Mac 2020.

Setelah tamat pengajian graduan bukan sahaja memiliki segulung ijazah yang diidam-idamkan, mereka turut memikul bebanan hutang pengajian.

Isu ini masih dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat kerana mereka tidak menanggung nasib yang sama.

Golongan yang sering mempunyai masalah ini sudah semestinya terdiri daripada kumpulan B40.

Kesukaran untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan tetap turut memburukkan lagi keadaan, majikan pula menetapkan kriteria tertentu terutamanya perlu memiliki pengalaman sebelum diambil bekerja.

Demi mengubah keadaan ini para penuntut perlu berfikir dan bertindak di luar kotak semasa mereka masih bergelar mahasiswa.

Jadual pembelajaran pada masa kini yang lebih kondusif dan tidak tertumpu kepada kelas atau kuliah sepanjang waktu mengurangkan bebanan pelajar.

Malahan pihak pengajian tinggi turut memperkenalkan sistem pembelajaran kendiri dan dalam talian yang banyak membantu para pelajar.

Waktu yang lebih fleksibel ini menguntungkan pelajar, kerana mereka dapat
menggunakan waktu itu dengan perkara yang membantu kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Pelajar yang bijak mengambil peluang banyak melakukan kerja-kerja sambilan yang dapat menjana pendapatan sebagai wang saku tambahan.

Oleh itu, gaji yang diperoleh dapat menampung perbelanjaan seharian dan mereka kurang bergantung kepada pinjaman pendidikan semata-mata.

Kedai serbaneka, pasar raya, dan kafe banyak menjadi pilihan pelajar untuk menjadi pekerja sambilan kerana dapat berkerja mengikut syif yang sesuai dengan jadual kelas mereka.

Selain itu, dunia perniagaan yang boleh diibaratkan sebagai cendawan tumbuh selepas hujan ini mula diceburi oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Bukan sahaja mereka yang berlatarbelakangkan perniagaan atau memiliki kelulusan dalam bidang ini mula menapak sebagai ahli perniagaan.

Jelas dapat kita lihat peniaga dan usahawan kini terdiri daripada mereka yang percaya kepada diri dan berani mengambil risiko.

Tidak kurang hebatnya ramai pelajar yang masih menuntut dalam pelbagai bidang turut menceburi bidang ini.

Dengan adanya, platform yang mudah dicapai dan percuma seperti media sosial memudahkan lagi urusan jual beli.

Hal ini banyak membantu dalam pengiklanan barangan yang ingin dijual, selain daripada dapat mencapai jumlah tontonan yang tinggi media sosial juga merupakan medium penyampaian maklumat yang paling berkesan.

Disebabkan itu kebanyakan pelajar boleh mengambil langkah dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan mereka, yuran pengajian dan menabung untuk masa hadapan.

Keluarga turut memainkan peranan penting terutama ibu bapa sebelum memilih untuk mengambil pinjaman pendidikan kepada anak-anak dan perlu memikirkan beberapa kemungkinan yang boleh berlaku sebelum membuat perjanjian dengan pihak peminjam.

Pelajar juga perlu mencari peluang tidak hanya bergantung kepada pinjaman pendidikan semata-mata malah boleh mencuba mendapatkan biasiswa, tajaan mahupun bantuan pendidikan daripada pelbagai pihak.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles