- Iklan -
Kolum

Filem sebagai puitika orang tertindas

Filem ini menjadi lebih puitis apabila mengungkapkan pelbagai puitika orang tertindas sebagai naratif tunjangnya.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Itali, selalu memberikan kita filem atau gambar bergerak yang “puitis”.

Saya masih ingat La vita è bella atau Life Is Beautiful yang dilakon dan diarahkan oleh Roberto Benigni pada tahun 1997.

Ia menjadikan kisah penderitaan Yahudi di kem tahanan Nazi sebagai satu komedi hitam.

Manakala Viva la libertà (2013) pula menukangi nasib seorang ahli politik kiri sebagai tebusan apabila orang kanannya menukarkan posisi ketua pembangkang itu dengan seseorang yang nyaris serupa dengannya.

Ia sebuah drama jenaka politik yang langka.

Kedua-dua filem ini kini menjadi arkib filem Eropah yang signifikan.

Maka, apabila pandemik melanda dunia, sebuah filem yang puitis dari Itali tentu sangat-sangat kita perlukan.

Apatah lagi kalau yang memerankan watak utama adalah khazanah terkemuka negara itu, Sophia Loren.

La vita davanti a sé atau The Life Ahead (2020) adalah sebuah filem arahan anak lelaki Loren, Edoardo Ponti, dengan sentuhan lakon layar oleh Ponti sendiri dan Ugo Chiti.

Ia adalah adaptasi ketiga novel bertajuk The Life Before Us oleh Romain Gary.

Demikian indah kisahnya, ia sudah diadaptasi lagi dan lagi, cuma beza kali ini ia mendapat bintang gemintang sepertinya Sophia Loren, Ibrahim Gueye dan Abril Zamora.

Ada banyak sebab mengapa filem ini menjadi sebuah puisi.

Jarang saya berani menamakan sebuah filem sebagai puisi (puncak pengucapan sastera oleh manusia).

Pertama, bukan mudah mengangkat naratif sebuah novel ke layar perak.

Kerja adaptasi adalah kerja yang sulit, kacau, dan boleh jadi kalut jika gagal ditangani kemas.

Apatah lagi jika terdapat banyak yang disuguhkan novel itu harus digubah hati-hati menjadi filem.

Syukur, The Life Ahead melakukannya dengan jaya sekali.

Ada banyak isu berseliratan tetap dijalin dan dipintal demikian rapi sehingga tidak terasa kusutnya.

Ia dilakukan dalam tempoh masa 95 minit yang membuaikan.

Benar, sebagai sebuah karya adaptasi ia demikian menjadi.

Ponti sebagai pengarah dan penulis lakon layar memilih untuk menampilkan sisi duka Madame Rosa, mangsa kekejaman Nazi di Auschwitz dan mantan pekerja seks yang sudah renta serta mulai nyanyuk.

Pun ia tidak dilakukan dari kaca mata dirinya sendiri.

Bahkan, ia ditampilkan menerusi mata Muhammad atau Momo.

Iaitu seorang anak yatim Senegal yang dipelihara Madame Rosa atas permintaan temannya, seorang doktor masyarakat, Cohen.

Menerusi sudut pandang itu, hayat Rosa menjadi lebih dramatik.

Kedua, filem ini menjadi lebih puitis apabila mengungkapkan pelbagai puitika orang tertindas sebagai naratif tunjangnya.

Watak-watak hadir bukanlah watak biasa.

Jika Madame Rosa adalah mangsa Nazi yang masih trauma (keselamatan adalah apabila ia bersembunyi di kamar rahsia ala Batcave di aras bawah tanah); watak Hamil lakonan pelakon lagenda Iran, Babak Karimi pula menyediakan sub-teks lain.

Sebagai peniaga permaidani dan buku terpakai, ia memberikan nyawa falsafah kepada filem ini.

Singa adalah simbol keimanan kata Hamil, sehingga Momo akhirnya bermimpikan singa yang manja.

Tidak cukup dengan watak minoriti agama terasing di Bari, Itali; karya ini mengangkat pula lara seorang transnita menerusi watak Lola (lakonan kuat Abril Zamora).

Trans ini adalah penghibur Rosa.

Sebagai produk puitika orang tertindas, semua insan yang tersisih oleh masyarakat ini saling sokong menyokong.

Bahkan anak-anak pelacur termasuk anak gipsi seperti Iusif dipelihara oleh Rosa.

Semua mereka juga di akhirnya menang dengan cara tersendiri.

Momo berubah, Hamil menemui kedamaian manakala Lola paling tidak diterima kembali bapanya.

Untuk melengkapkan keagaman The Life Ahead sebagai sebuah filem puitis, Ponti menggunakan kelebihan Angus Hudson untuk memberikan latar damai kota tepi laut Bari.

Syot sisi atas yang tampil beberapa kali memberikan emosi meyakinkan untuk gambar bergerak.

Ketuaan dan keletihan Sophia Loren sebagai Rossa dijamu tanpa jemu sehingga menimbulkan rasa kasih dan kasihan yang dalam.

Babak Rosa lupa ingatan di kebun zaitun sehingga ketakutan, atau adegan Rosa di atap tempat ampaian berhujanan menimbulkan bait-bait puisi yang ingin dimainkan.

Tentu semua aspek di atas tidak akan menjadi-jadi tanpa lakonan fenomenal Sophia Loren selaku Rosa, Ibrahim Gueye selaku Momo dan Hamil oleh Babak Karimi.

Sophia (86 tahun) sudah amat tidak aktif berlakon, dan hanya muncul sekali-sekala sebagai cameo di sana sini.

Pun tanpa jangkaan, Loren hadir menggalas peranan protagonis yang penuh luka.

Sebagai seorang bekas pekerja seks derita (di mana manis dan seksinya masih ada), Loren juga meyakinkan sebagai seorang tua nanar, keliru dan nestapa.

Kemeranaan ekoran Perang Dunia Kedua tidak pernah lepas darinya hingga mendorong dia mahu terus bernyawa dan menyelamatkan orang tertindas di keliling.

Untuk itu watak Rosa perlu ditampil kuat ala matriarki tetapi juga kalah kerana banyak kali terhempuk.

Bahagian Rosa menuntut agar Momo tidak membenarkan orang membawanya ke hospital begitu meyakinkan sehingga meruntun rasa.

Kepintaran Hamil memberikan akibat yang kuat untuk Momo berubah meninggalkan kerja haramnya menjual dadah.

Tentu memilih novel ini untuk difilemkan punya tujuan tersendiri.

Mesej utama The Life Ahead ialah tidak lain tidak bukan adalah toleransi.

Latar Itali yang dibangunkan adalah menerusi sorot mata imigran terperangkap dan terpaksa, penjenayah yang pandai memanipulasi mereka, warga tua yang sudah terlalu lelah, orang asing seperti Hamil dari Algeria yang sepi, dan Lola dalam skirt labuh sopan yang menagih pengiktirafan masyarakat.

Lola dalam dialognya yang mengharukan memberitahu Momo, “Ayahku sukakan warna merah…adakah ini keterlaluan?”

Serta tentu orang gipsi yang diberikan harapan untuk hidup.

Iusif berdoa, dan siapa sangka doa agar ibunya kembali itu dikabulkan?

Lebih melengkapkan filem ini selaku puisi bergambar ialah tatanan muzik oleh Gabriel Yared yang pernah diiktiraf Oscar menerusi filem The English Patient.

Muzik memberikan nyawa khas buat filem ini di mana ia merupakan jalan keluar untuk Momo yang sering menangis dalam diam, sambil mengelamunkan seekor singa – keimanannya yang datang dan pergi – sehingga menjadikan deruan irama filem bersatu dengan ombak kota perikanan Bari secara penuh magis.

Filem ini, The Life Ahead, sudah dibeli oleh Netflix dan ditayangkan ke seluruh dunia untuk tontotan semua. Ini adalah karya seni yang kita perlukan.

Ia adalah sebuah filem tetapi puisi, dan ia mengajak kita semua berdialog, di mana ia bertanya satu soalan yang mudah; bagaimana agaknya kalau kita meletakkan diri sendiri dalam sepatu orang-orang marjinal ini, apakah yang akan kita lakukan?

Filem ini meski latarnya kumuh, memberikan satu jawapan pasti; The Life Ahead; teruskan hidup.