- Iklan -
Rencana

Tambah baik inisiatif Belanjawan 2021 demi belia

Kerajaan perlu membantu kumpulan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sofea Azahar
3 minit bacaan
Kongsi
Belia antara kelompok kritikal yang perlu dibantu kerajaan.
Belia antara kelompok kritikal yang perlu dibantu kerajaan.

Belanjawan 2021 telah disampaikan oleh kerajaan Perikatan Nasional buat pertama kali mencerminkan usaha mereka untuk membantu kumpulan rentan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui beberapa inisiatif terutamanya untuk golongan belia.

Namun, terdapat sebahagian inisiatif yang memerlukan penambahbaikan melibatkan beberapa inisiatif utama yang dikhaskan untuk atau melibatkan golongan belia.

Antara inisiatif itu termasuk insentif kepada majikan swasta sebanyak RM1,000 sebulan sehingga tiga bulan bagi setiap graduan baharu untuk mengikuti program perantisan.

Majikan juga boleh menuntut geran sehingga RM4,000 untuk program latihan bagi perantis.

Insentif pengambilan pekerja (PenjanaKerjaya);

Program peningkatan kemahiran dan latihan semula dengan peruntukan dana melalui beberapa agensi kerajaan;

Pengenalan program pekerjaan jangka masa pendek (MySTEP);

Bantuan tunai dengan kadar antara RM350 dan RM1,200 melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk golongan isi rumah B40 dan M40 serta individu bujang;

Bantuan kebajikan bulanan berjumlah RM150 setiap seorang bagi kanak-kanak B40 yang berumur tujuh hingga 18 tahun;

Insentif untuk menggalakkan pemilikan rumah bagi pembelian rumah kediaman pertama seperti pengecualian duti setem sepenuhnya sehingga tahun 2025 dan juga skim sewa untuk milik (RTO);

Kredit e-dompet bernilai RM50 secara sekali beri atau one off untuk belia berusia 18 hingga 20 tahun melalui program eBelia;

Sumbangan bernilai RM150 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada Tabung Cerdik untuk pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah (projek rintis);

Peruntukan berjumlah RM100 juta untuk skim pinjaman komputer riba untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN);

Memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion;

Kredit telekomunikasi bernilai RM180 untuk golongan B40 melalui Program Jaringan Prihatin bermula suku pertama tahun 2021 dan melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) dengan lebih bersasar selama tiga bulan lagi untuk sektor yang terjejas teruk seperti sector pelancongan.

Bantuan tunai dengan kadar antara RM350 dan RM1,200 melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk golongan isi rumah B40 dan M40 serta individu bujang

Walaupun beberapa cadangan yang ditulis dalam artikel saya sebelum ini bertajuk “Budget 2021-Youth’s wishlist to endure the crisis” telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, masih ada beberapa langkah rangsangan yang tidak dipertimbangkan atau tidak mencapai tahap yang diharapkan.

Sebagai contoh, hasil perbincangan daripada kumpulan fokus EMIR Research (FGD) pada bulan Julai melibatkan golongan belia mendedahkan bahawa para pelajar berasa sangat bimbang tentang status kewangan mereka walaupun ada yang mendapat biasiswa kerana elaun yang diberikan oleh pembiaya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian mereka semasa belajar.

Pertama sekali, bantuan tunai untuk pelajar universiti yang kurang bernasib baik akan membantu mereka sekurang-kurangnya untuk menampung perbelanjaan sara hidup sambil memberikan peluang kepada mereka untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pembelajaran.

Dalam pakej rangsangan ekonomi Prihatin yang bernilai RM250 bilion, terdapat bantuan tunai secara one off bernilai RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi tetapi ia berakhir di situ.

Walaupun belia termasuk dalam golongan yang akan menerima bantuan kebajikan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, ia hanya mewakili sebahagian kecil daripada kumpulan belia (berumur 15 hingga 18 tahun).

Bagaimana pula mereka yang berusia lebih daripada 18 tahun yang merupakan pelajar universiti tanpa pekerjaan dan tergolong dalam kumpulan isi rumah B40 dan juga sebahagian daripada pelajar dalam kumpulan M40 yang mungkin berada dalam keadaan yang susah?

Memandangkan perbahasan Belanjawan 2021 masih berlangsung, kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan tunai bernilai RM200 hingga RM300 untuk pelajar universiti dalam kumpulan isi rumah seperti yang disebut di atas.

Bantuan ini juga boleh diberikan lebih awal lagi memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilanjutkan lagi sehingga 6 Disember yang menyebabkan para pelajar harus terus belajar secara dalam talian di rumah dan mereka perlu membeli bahan pembelajaran sendiri.

Kedua, RM50 yang akan dikreditkan ke dalam akaun e-dompet untuk belia juga terhad kepada mereka yang berumur 18 ke 20 tahun sahaja sedangkan golongan belia yang memanfaatkannya untuk perbelanjaan harian adalah lebih daripada itu.

Oleh itu, belanjawan kali ini diharapkan supaya kerajaan dapat meningkatkan peruntukan program eBelia bagi memberikan kredit e-dompet kepada populasi belia yang lebih besar.

Seperti yang diucapkan oleh menteri kewangan, “Golongan belia memainkan peranan penting sebagai antara pelopor dan pengguna dalam mengadaptasi teknologi terkini.”

Akhir sekali, Belanjawan 2021 nampak positif kerana ia mengandungi inisiatif untuk menangani isu pengangguran di kalangan belia tetapi inisiatif untuk mengatasi isu ‘underemployment’ nampaknya terhad kepada sektor yang mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing – insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan di mana 40 peratus akan disalurkan kepada majikan manakala 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

Bagaimana dengan sektor lain yang tidak terlalu bergantung pada pekerja asing tetapi dipenuhi dengan golongan muda yang berkelayakan tinggi tetapi dibayar gaji rendah? Maka, isu ‘underemployment’ ini harus dipertimbangkan secara menyeluruh.

Semua orang sedang cuba untuk terus bertahan dalam krisis ini, begitu juga dengan belia.

Oleh itu, cadangan-cadangan ini harus segera direalisasikan.

Penulis merupakan penganalisis penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow