Hentikan kebencian, lindungi Rohingya di Malaysia
Retorik dalam talian tidak menggambarkan realiti, sebaliknya mencerminkan ketakutan yang sengaja dicetuskan menerusi maklumat palsu.
Terkini
Saya amat bimbang dengan ledakan ucapan kebencian dan penyebaran maklumat palsu dalam talian yang menyasarkan komuniti Rohingya di Malaysia, serta betapa pantasnya kebencian ini memberi kemudaratan di lapangan.
Minggu ini sahaja, jenazah 27 lelaki dan wanita Rohingya dikebumikan di Pokok Sena, Kedah.
Mereka antara mangsa korban, termasuk kanak-kanak, yang mati lemas beberapa bulan lalu apabila bot mereka karam berhampiran Pulau Langkawi ketika cuba sampai ke Malaysia. Demi menyelamatkan diri, mereka telah membayar harga yang paling mahal. Penderitaan yang mereka lalui adalah benar, bukan naratif media sosial. Ini soal hidup dan mati.
Gelombang permusuhan yang berlaku sekarang – dicetuskan oleh hantaran palsu di media sosial dengan dakwaan kononnya pelarian Rohingya menuntut hak kerakyatan atau hak istimewa – kini tersebar luas melangkaui ruang dalam talian. Masyarakat pelarian kini hidup dalam ketakutan. Kediaman mereka diserbu; bangunan yang menempatkan penyewa Rohingya dikenakan tindakan penguatkuasaan susulan tekanan media sosial. Perniagaan yang dikendalikan Rohingya dan pusat pendidikan mereka diganggu. Malah, pelbagai petisyen dalam talian menyeru "penyingkiran" Rohingya dari Malaysia, dengan mengumpul ratusan ribu tandatangan.
Bahasa yang digunakan dalam kempen ini bersifat kejam dan merendahkan maruah manusia – Rohingya dilabel kotor, berpenyakit, dan "membiak" anak-anak tanpa kawalan; dituduh sebagai penjenayah yang mengatasi undang-undang; dan dipersalahkan kerana membebankan sistem penjagaan kesihatan, perumahan, dan perkhidmatan awam Malaysia.
Retorik ini tidak menggambarkan realiti. Ia mencerminkan ketakutan yang sengaja dicetuskan dengan maklumat palsu. Ini bukan Malaysia yang sepatutnya kita idamkan.
Perlu jelas di sini: Malaysia menjadi tuan rumah kepada salah satu populasi pelarian terbesar di rantau ini – dengan jumlah keseluruhan kira-kira 126,000 Rohingya berdaftar dan lebih 215,000 pelarian serta pemohon suaka, berdasarkan rekod UNHCR.
Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai rangka kerja perundangan domestik bagi perlindungan pelarian; semuanya bergantung kepada dasar kerajaan dan arahan bersifat ad hoc. Walaupun begitu, Malaysia secara amnya telah menunjukkan sikap bermurah hati dengan membenarkan pelarian terus tinggal di sini. Sikap ini sewajarnya diakui.
Malaysia pernah menghulurkan layanan baik kepada pelarian Vietnam, Aceh, dan Mindanao. Ramai daripada mereka akhirnya kembali ke tanah air apabila keadaan mengizinkan, atau ditempatkan semula ke negara ketiga.
Setiap pelarian mahu pulang ke negara sendiri. Tiada siapa yang memilih untuk hidup terumbang-ambing. Begitu juga dengan Rohingya – mereka juga akan pulang sekiranya selamat untuk berbuat demikian.
Namun, Rohingya terus tiba – dari Myanmar dan kem-kem yang sesak dan semakin teruk di Bangladesh – kerana mereka tiada tempat lain untuk dituju. Junta tentera Myanmar terus menindas mereka tanpa berdepan apa-apa halangan. Pertempuran bersenjata dan serangan terhadap orang awam masih berterusan di negeri Arakan/Rakhine.
Perkampungan Rohingya dimusnahkan secara sistematik. Pulang bukanlah satu pilihan. Mereka bukan migran ekonomi. Mereka terselamat daripada kekejaman yang masih berterusan.
Cadangan untuk menempatkan Rohingya di kem atau di pulau luar pesisir, menghalau mereka ke sempadan, atau menolak bot kembali ke laut bukanlah penyelesaian polisi. Ia hanyalah topeng kepada penindasan, dan tidak selari dengan perikemanusiaan dan kedaulatan undang-undang. Kita tidak boleh memburukkan lagi kehidupan mereka yang telah kehilangan segala-galanya.
Tanpa sokongan kerajaan atau dengan sedikit yang diberikan, dengan sumber terbatas daripada pertubuhan masyarakat sivil, sebahagian besar masyarakat Rohingya terpaksa berdikari. Mereka perlukan akses kepada makanan, air, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan punca pendapatan setiap hari. Menafikan semua ini tidak menjadikan Malaysia lebih selamat. Ia hanya memburukkan penderitaan mereka.
Beban yang dipikul Malaysia adalah tidak seimbang, dan saya menyeru masyarakat antarabangsa – sama ada kerajaan, pertubuhan multilateral, atau organisasi antarabangsa – untuk meningkatkan komitmen secara bermakna melalui penempatan semula yang lebih meluas, sokongan kewangan berterusan, dan tekanan diplomatik yang tidak berbelah bahagi terhadap rejim Myanmar.
Saya mengalu-alukan proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) Kementerian Dalam Negeri sebagai langkah penting untuk memastikan struktur yang jelas dalam pengurusan pelarian. Seperti yang diakui oleh kementerian, DPP berperanan dalam kawalan migrasi serta perolehan data yang tepat – ia bukan pemberian taraf kewarganegaraan atau pemastautin tetap.
Saya menggesa kerajaan agar jelas dan konsisten dalam menyampaikan perkara ini kepada orang ramai bagi membanteras maklumat palsu yang berbahaya dan kini mencetuskan permusuhan.
Saya juga menggesa kerajaan agar lebih telus dalam pendekatannya – bekerjasama secara konstruktif dengan UNHCR dan pertubuhan masyarakat sivil, kerana pengalaman dan akses mereka penting dalam mencari penyelesaian yang lestari dan berperikemanusiaan.
Secara amnya, saya menyeru kerajaan menunjukkan kepimpinan yang tegas dan berprinsip. Berdiam diri ketika berdepan hasutan bukanlah sikap berkecuali – malah ia memberi lampu hijau.
Kerajaan mesti mengutuk secara terbuka ucapan kebencian yang menyasarkan Rohingya dan memastikan ancaman serta hasutan untuk melakukan keganasan disiasat dan, jika perlu, didakwa.
Selain penguatkuasaan, kerajaan bertanggungjawab untuk mendidik dan memberi maklumat. Rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan yang jujur mengenai Rohingya, mengapa mereka berada di sini, dan dasar kerajaan. Perlu diingat, bekas perdana menteri Najib Razak pernah mengadakan perhimpunan besar sebagai tanda solidariti dengan Rohingya, iaitu pengiktirafan di peringkat politik tertinggi bahawa penderitaan mereka menuntut respons belas kasihan. Semangat itu tidak boleh hilang.
Saya juga menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri.
Ia berbahaya, tidak sah dan berisiko menjadi tidak terkawal dengan cara yang tidak dapat diramal atau dibendung oleh sesiapa pun. Kebimbangan orang awam, walau seikhlas mana pun, mesti ditangani melalui saluran yang sah dan berperikemanusiaan.
Rohingya tidak datang ke Malaysia untuk mencari keistimewaan. Mereka datang mencari keselamatan. Janganlah kita memburukkan lagi tragedi kehidupan mereka dengan menjadikan Malaysia tempat di mana mereka yang terselamat diburu di kediaman mereka, dinafikan keperluan asas untuk kehidupan bermaruah, dan dipaksa hidup dalam ketakutan.
Eric Paulsen merupakan bekas wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), dan penasihat Lawyers for Liberty.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
