- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Buat pertama kali, agensi kerajaan peroleh perintah mahkamah menyekat luahan terhadap ahli politik

Albert Tei menjadi sasaran terkini SKMM dalam langkah yang belum pernah diambil dalam siri tindakan menutup suara pengkritik.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Albert Tei (tengah) menjadi sasaran tindakan luar biasa SKMM untuk menyekat beliau daripada bersuara terhadap sekumpulan individu.
Albert Tei (tengah) menjadi sasaran tindakan luar biasa SKMM untuk menyekat beliau daripada bersuara terhadap sekumpulan individu.

Menurut amalan biasa, pemimpin awam dan tokoh politik dalam kapasiti sendiri menggunakan peguam untuk memohon injunksi mahkamah terhadap pengkritik atau media.

Namun, kebiasaan ini dilanggar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi kerajaan yang mengawal selia internet dan secara aktif digunakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan terhadap kritikan dalam talian, termasuk melalui sekatan laman web dan hantaran di media sosial.

Minggu lalu, SKMM melalui peguamnya berjaya mendapatkan injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menghalang ahli perniagaan dan pendedah maklumat terkenal Albert Tei daripada mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengandungi “rujukan kasar dan ucapan bernada kebencian” terhadap beberapa ahli politik kerajaan serta individu yang ada kaitan dengan mereka.

Antara yang dinamakan ialah Fahmi Fadzil, menteri komunikasi yang mengawal selia SKMM.

Mendahului senarai individu yang kini tidak boleh dikritik oleh Tei ialah Anwar dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, kedua-duanya sasaran ahli perniagaan itu sejak meletusnya skandal lesen perlombongan Sabah dua tahun lalu.

Ketika itu, Anwar enggan memberikan jaminan perlindungan kepada Tei sebagai seorang pemberi maklumat (whistleblower) bagi membolehkannya mendedahkan butiran mengenai skandal berkenaan. Susulan itu, Tei mengambil keputusan untuk secara terbuka membongkar pelbagai salah laku, termasuk skandal rasuah melibatkan Pejabat Perdana Menteri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Individu lain yang terlibat dalam perintah injunksi itu ialah menteri seperti Nga Kor Ming, Armizan Ali, Fadhlina Sidek dan Anthony Loke, yang baru-baru ini meletak jawatan.

Perintah mahkamah itu turut merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tei terhadap individu di luar kerajaan, termasuk anak sulung Anwar, Nurul Izzah, yang juga timbalan kepada bapanya dalam parti PKR.

Antara kandungan dalam talian yang disenaraikan ialah satu video yang dimuat naik pada April, di mana Tei menyelar Nurul Izzah kerana mengkritik penganjuran sebuah acara konvoi motosikal Perikatan Nasional.

“Dia [Tei] menuduh Nurul Izzah bersikap hipokrit dan membandingkan dakwaan penggunaan bahan api oleh konvoi tersebut dengan langkah Perdana Menteri Anwar menggunakan pesawat serta helikopter kerajaan bagi urusan rasmi. Dia menyatakan bahawa sekiranya penjimatan bahan api benar-benar menjadi kebimbangan, Perdana Menteri Anwar sepatutnya menggunakan kereta untuk perjalanan tersebut,” menurut perintah mahkamah itu yang memetik salah satu hantaran oleh Tei.

“Dia seterusnya menyatakan bahawa pembaziran yang didakwa dilakukan Anwar adalah lebih besar berbanding pembaziran yang timbul daripada konvoi motosikal, serta mengulas bahawa Nurul Izzah sepatutnya ‘lebih cerdik’.

“Konteks keseluruhan video tersebut adalah percubaan untuk menggambarkan kritikan Nurul Izzah sebagai bersifat selektif dan tidak konsisten, sambil mengaitkan mesej politiknya (Nurul Izzah) dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘spin’ yang serupa dengan gaya bapanya,” tambah kenyataan itu.

Perintah tersebut merujuk kepada lebih 10 hantaran di platform seperti YouTube, Facebook, TikTok, Instagram dan Threads, di mana Tei mengkritik beberapa individu, termasuk bekas pembantu Anwar yang kini ahli korporat jutawan, Farhash Wafa Salvador; jurucakap kerajaan Lokman Adam; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; serta ketua pengarah badan propaganda kerajaan J-Kom, Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Menurut dokumen mahkamah lebih 1,600 halaman yang difailkan SKMM, Tei dituduh mengeluarkan “ucapan bernada kebencian” dalam bentuk visual, audio dan kata-kata yang “menghina atau merendahkan martabat individu-individu” yang dinamakan.

SKMM menambah, Tei turut membuat “rujukan kasar yang termasuk perkataan lucah, jelik, kesat atau mencarut”, selain melakukan “serangan berterusan yang bersifat keji dan menghina, termasuk perbuatan menggunakan panggilan nama (name calling)”.

Antara contoh yang diberikan SKMM ialah pelbagai sindiran Tei yang menyentuh sabitan Anwar atas tuduhan liwat pada masa lampau, serta serangan terhadap Fahmi apabila menteri komunikasi itu mengelak daripada bertemu Tei yang hadir ke bangunan Kementerian Komunikasi untuk membangkitkan isu sekatan terhadap akaun media sosialnya.

“Penyebaran kandungan yang bernada kebencian dan permusuhan menimbulkan ancaman yang serius terhadap keharmonian sosial, memupuk sikap tidak bertoleransi serta perpecahan, dan berisiko menjadikan kebencian serta permusuhan sebagai ciri-ciri yang diterima dalam wacana awam,” kata SKMM.

Peguam Tei, Rajesh Nagarajan, berkata anak guamnya akan mematuhi perintah itu, namun menegaskan ia tidak bermakna penerimaan terhadap hujah perundangan di sebalik injunksi berkenaan.

Pada 7 Disember, mahkamah akan mendengar permohonan membatalkan perintah itu.

“Perintah ini bukanlah keputusan yang memihak kepada SKMM, dan tidak seharusnya digambarkan sedemikian,” kata Rajesh.

Beliau berkata langkah SKMM menyekat Tei menimbulkan tanda tanya mengenai peranan sebuah badan pengawal selia berkanun yang “memikul tanggungjawab lebih tinggi” untuk bertindak dengan bertanggungjawab.

“Sesebuah badan pengawal selia tidak boleh mengharapkan keyakinan orang ramai sedangkan pada masa sama mendapatkan perintah mahkamah bagi menyekat perbincangan awam. Tindakan sedemikian berisiko menghalang pihak lain daripada bersuara atau menyuarakan kebimbangan yang wajar. SKMM sepatutnya mempertimbangkan kesan tersebut sebelum memilih langkah ini,” tambahnya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Rajesh berkata perintah mahkamah itu seolah-olah mempunyai skop yang “sangat luas”.

“Kesannya adalah Albert tidak boleh bercakap mengenai apa-apa pun sehingga 7 Disember,” tambahnya. “Ini merupakan penyalahgunaan proses yang sangat dahsyat oleh SKMM.”