Ketika xenofobia dan dasar meraikan junta, Mahkamah Dunia sabitkan Myanmar lakukan genosid terhadap Rohingya
Keputusan itu lebih sebulan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mula bermesra dengan junta Myanmar meskipun ia meneruskan kekejaman terhadap orang awam.
Terkini
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini mendapati Myanmar bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap etnik Rohingya, keputusan yang mengesahkan tindakan tenteranya menindas golongan minoriti Muslim itu ketika masyarakat pelarian berdepan kempen xenofobia (kebencian) di Malaysia.
Keputusan bersejarah itu diumumkan hanya sebulan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut mesra pemimpin junta tersebut, malah berjanji untuk membawa masuk Myanmar ke dalam Asean meskipun rejim itu terus melakukan keganasan.
Dalam penghakiman panjang lebar dibacakan di mahkamah di The Hague, Belanda, Presiden ICJ Yuji Iwasawa dari Jepun, berkata sembilan daripada panel 15 hakim memutuskan bahawa Myanmar telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya di wilayah Arakan (Rakhine) pada 2016–2017, tindakan yang mencetuskan salah satu krisis pelarian paling buruk dalam sejarah moden.
Menurutnya, rejim Myanmar “membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual, serta keganasan melampau terhadap kanak-kanak”.
“Mahkamah yakin sepenuhnya bahawa Myanmar telah melakukan tindakan yang tertakluk di bawah konvensyen pembunuhan beramai-ramai, dengan niat untuk melenyapkan sebahagian besar populasi Rohingya di Myanmar,” kata Iwasawa.
Keputusan hari ini muncul ketika kempen menyemai kebencian terhadap etnik Rohingya semakin tidak terkawal di Malaysia, apabila media sosial dibanjiri ucapan penghinaan, aksi kumpulan yang berkeliaran sambil mengganggu pelarian, serta desakan supaya mereka dihantar pulang ke tangan junta Myanmar.
Keputusan ICJ itu juga menimbulkan tanda tanya terhadap langkah mengejut kerajaan Malaysia untuk menjalin hubungan mesra dengan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing, yang bulan lalu diraikan di Kuala Lumpur bersama janji Anwar untuk membawa masuk negara itu ke dalam Asean dan memperkukuh kerjasama ekonomi.
Pendirian Anwar itu tidak selari dengan keputusan Asean semalam untuk melanjutkan larangan terhadap pemimpin Myanmar daripada menghadiri mesyuarat sidang kemuncak blok itu, disebabkan kegagalan rejim tersebut melaksanakan pelan damai Konsensus Lima Perkara (5PC).
Dalam penghakimannya, ICJ berkata Myanmar melakukan tindakan yang tertakluk di bawah Konvensyen Genosid, dengan niat untuk menghapuskan etnik Rohingya.
Kempen ketenteraan pada 2016–2017 memaksa lebih 700,000 orang melarikan diri ke Bangladesh selepas jenayah pembunuhan beramai-ramai, rogol dan serangan ke atas kampung dilakukan junta Myanmar. Kira-kira 200,000 pelarian Myanmar, sebahagian besarnya etnik Rohingya, turut mencari perlindungan di Malaysia.
Selama beberapa dekad, pihak berkuasa Myanmar dan gerakan nasionalis yang dipimpin sami ekstremis Buddha cuba menggambarkan Rohingya sebagai orang asing yang tidak sepatutnya berada di negara itu. Mereka berulang kali dilabel sebagai pendatang haram berketurunan Bengali walaupun terdapat bukti lama mengenai kehadiran mereka di Arakan, yang kini dikenali sebagai Negeri Rakhine.
Pihak berkuasa Myanmar telah mewujudkan persepsi bahawa etnik Rohingya bukan komuniti peribumi yang mempunyai hak sah, sebaliknya kelompok asing yang kehadirannya dianggap sebagai ancaman kepada negara tersebut.
Keputusan hari ini merupakan kali pertama ICJ menyabitkan sebuah negara atas jenayah genosid, di samping memberi isyarat terhadap kes yang dibawa ke atas Israel berhubung tindakannya di Gaza yang mengorbankan lebih 100,000 orang awam sejak Oktober 2023.
Ia juga dilihat akan meningkatkan tekanan terhadap Myanmar berhubung layanan terhadap etnik Rohingya, sekali gus menjejaskan usaha beberapa negara sejak akhir-akhir ini untuk menjalinkan hubungan dengan rejim tersebut.
Kempen kebencian
Semakan mendapati sebahagian besar kandungan kebencian di media sosial dipacu oleh bot dan akaun palsu yang menggunakan ratusan video dijana teknologi AI dengan matlamat menyemai permusuhan terhadap komuniti pelarian dan migran, menyerupai apa yang berlaku di Aceh pada 2023 apabila kempen kebencian dalam talian cuba membangkitkan kemarahan penduduk tempatan supaya mengusir pelarian Rohingya, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden Indonesia.
Anwar dan sebilangan kecil ahli politik dilihat bersetuju dengan naratif yang melabelkan pelarian Rohingya sebagai golongan yang mencetuskan kekacauan.
Malah ketika ICJ bersidang menyampaikan penghakimannya hari ini, ahli politik Bersatu, Radzi Jidin, sekali lagi melaungkan slogan anti-Rohingya, dengan mendesak kerajaan supaya tegas mengusir masyarakat pelarian kembali ke Myanmar.
Radzi juga cuba mewajarkan kelakuan kumpulan jalanan yang mengganggu pelarian, dengan alasan mereka muncul disebabkan kegagalan pihak berkuasa, di samping mengulangi naratif TikTok yang menyerang pihak yang mengkritik penghantaran pulang pelarian Rohingya.
“Kalau tidak mahu kami hantar balik, ambillah mereka,” kata Radzi, yang sebelum ini menggesa agar tentera dikerah di seluruh negara bagi menangkap pendatang tanpa izin.
Pada September, Anwar mengulangi naratif yang melabelkan pelarian Islam Rohingya sebagai golongan yang menimbulkan kekacauan, dengan mendakwa mereka “melanggar kampung, melanggar peraturan, buat perhimpunan haram dan mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia”.
Ia disusuli keputusan Anwar membelakangkan dasar kerajaan Malaysia selama ini untuk melindungi pelarian Islam Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan oleh junta Myanmar, di samping pengumuman mengusir ribuan pelarian.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
