SPRM digesa siasat pegawai, peguam dalam komplot ambil RM50 juta dana 1MDB yang dipulangkan dari Kuwait
Butiran mengejutkan mengenai rancangan membabitkan pegawai kanan SPRM dan seorang peguam didedahkan Sarawak Report.
Terkini
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan berhubung pendedahan mengejutkan melibatkan dua pegawai kanannya dalam rancangan mengaut puluhan juta ringgit sebagai ganjaran kepada seorang pemberi maklumat kerana membantu kerajaan menemukan semula sebahagian daripada dana berbilion ringgit yang dilesapkan dalam skandal 1MDB.
Dakwaan itu diperincikan ahli perniagaan dan pendedah maklumat terkenal, Albert Tei, dalam laporannya kepada SPRM, hanya beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk melarangnya daripada mengeluarkan sebarang ucapan atau kenyataan yang mengkritik bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, serta beberapa pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Perkembangan itu tiga bulan selepas portal Sarawak Report melaporkan pendedahan yang dibuat oleh ahli perniagaan berketurunan Syria-Perancis, Bachar Kiwan.
Bachar diheret dalam satu rancangan yang dikatakan didalangi pegawai SPRM dan beberapa individu lain, yang bertujuan melencongkan wang berjumlah RM50 juta sebagai bayaran atas kejayaan mengembalikan dana RM200 juta daripada Kuwait yang diselewengkan daripada 1MDB.
“Yang paling dahsyat sekali dalam kegiatan ini, peguam itu, yang dibawa oleh pegawai SPRM ini untuk menggantikan peguam Bachar Kiwan, telah meminta 25% sebagai ganjaran ataupun fi profesional untuk firma guamannya. 25% bersamaan RM50 juta daripada RM200 juta itu.
“Tetapi dia dinasihatkan oleh pegawai SPRM dan juga oleh peguam itu bahawa ramai pihak perlu ‘dijaga’,” kata Tei selepas menyerahkan laporannya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Bachar, antara pemberi maklumat yang merungkai skandal 1MDB, pernah menjalankan usaha sama perniagaan di Kuwait bersama kerabat diraja negara itu. Pada 2017, beliau terpaksa melarikan diri ke Perancis selepas disabitkan kesalahan pengubahan wang haram yang melibatkan dana 1MDB.
Bachar, yang kini menetap di Perancis, mendakwa watak utama skandal 1MDB, Low Taek Jho, telah bersekongkol dengan pihak berkuasa Kuwait untuk menyeksa dan memenjarakannya sebagai balasan kerana mendedahkan skandal 1MDB.
Pada Mac 2023, sebuah mahkamah di Kuwait menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap rakan niaga Bachar, Sheikh Sabah Jaber Mubarak Al-Sabah, yang juga anak kepada bekas perdana menteri, Sheikh Jaber Al-Mubarak Al-Hamad Al-Sabah, atas tuduhan menyeleweng dana 1MDB berjumlah AS$1 bilion. Bachar dan Low turut disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara di Kuwait tanpa kehadiran mereka.
Bagaimanapun, Bachar bertegas sabitan terhadapnya berpunca daripada maklumat salah yang dibekalkan pihak berkuasa Malaysia kepada Kuwait pada 2022.
Tawaran kepada SPRM menemukan dana 1MDB yang hilang
Dalam usaha membersihkan namanya, Bachar menawarkan bantuannya kepada SPRM, yang ketika itu diterajui Azam, untuk mendapatkan semula wang 1MDB yang telah digubah, dengan harapan pihak berkuasa Malaysia akan membantunya menggugurkan pertuduhan terhadapnya di Kuwait.
Pada 2023, susulan satu perbincangan dihadiri Bachar, pegawai SPRM dan menteri undang-undang Azalina Othman, Azam mendakwa tiada sebarang maklumat diperoleh daripada Bachar untuk mengesan dana yang hilang itu.
Bachar menafikan dakwaan tersebut dan berkata pegawai yang hadir memberitahunya bahawa kerajaan Malaysia tidak berminat untuk meneruskan perkara itu.
Pada 17 Ogos, Sarawak Report melaporkan mengenai minat baharu yang tiba-tiba ditunjukkan SPRM untuk mengesan dana yang hilang itu, selepas Kuwait menawarkan untuk memulangkan 15 juta dinar Kuwait (RM200 juta) yang telah dirampas daripada Sheikh Sabah.
Peguam baharu muncul dengan idea ‘ganjaran’ RM50 juta
Menurut Bachar, pada Disember 2025, ketika satu pertemuan di Paris yang dihadiri Azalina dan pegawai-pegawai SPRM, beliau diminta menggantikan peguamnya di Malaysia dengan seorang peguam lain.
Pada April tahun ini, peguam baharu tersebut mencadangkan agar bayaran bagi khidmat guaman mereka diambil daripada “yuran pemberi maklumat”. Peguam tersebut seterusnya mengesyorkan yuran itu ditetapkan pada kadar 25% daripada RM200 juta yang dikembalikan, iaitu RM50 juta.
Menurut cadangan bertulis yang dilihat Sarawak Report, Bachar akan menerima 45% daripada RM50 juta tersebut sebagai ganjaran, iaitu RM22.5 juta, manakala firma guamannya di Paris, Messrs Migueres Moulin, akan dibayar 10%, atau RM5 juta, sebagai yuran guaman dan perbelanjaan.
Sementara itu, baki 45%, yang juga berjumlah RM22.5 juta, akan dibayar kepada peguam baharu tersebut.
Bachar berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan ganjaran 25% itu, dan memberitahu Sarawak Report bahawa apabila jumlah itu dipersoalkan, salah seorang yang terlibat dalam rancangan itu berkata ia kerana terdapat “banyak pihak yang perlu dijaga”.
Bachar tidak menandatangani dokumen tersebut.
“Terdapat terlalu banyak perkara yang samar, dan pembuat keputusan pula kelihatan agak kabur,” kata Bachar dipetik Sarawak Report.
Menurut Sarawak Report, pada 19 Jun, tidak lama selepas ia mengemukakan pertanyaan kepada Azalina dan SPRM berhubung dakwaan itu, Bachar menerima surat daripada peguam gantinya yang memaklumkan keputusannya menarik diri daripada mewakilinya.
Dalam laporannya kepada SPRM hari ini, Tei merujuk kepada sebuah hantaran Facebook oleh Aidil Kini bulan lalu, yang menamakan bekas pengarah kanan SPRM, Zamri Zainul Abidin, sebagai individu yang mendesak Bachar menukar peguamnya.
Tei berkata siasatan perlu mengenal pasti mengapa Bachar diminta menukar peguam, serta asas perundangan bagi ganjaran sebanyak 25%, di samping jumlah besar yang diperuntukkan kepada peguam tersebut.
Menurutnya, dakwaan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang perlu “dijaga” juga mesti disiasat.
“Siapa pihak yang disebut sebagai pihak yang perlu dijaga? Daripada fi 25% itu, iaitu RM50 juta itu, siapa pihak yang perlu dijaga?” soal Tei.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.