Kebimbangan pelarian ternyata benar, rejim Myanmar kurung ratusan orang dihantar pulang oleh Malaysia
Ia ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan bermesra dengan pemimpin junta berkenaan dengan menawarkan pelbagai faedah diplomatik dan ekonomi.
Terkini
Lebih 400 penduduk etnik Rakhine yang dihantar pulang dari Malaysia kini ditahan tentera Myanmar, mengesahkan kebimbangan utama yang disuarakan kumpulan hak asasi manusia mengenai perjanjian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan junta itu untuk menghantar pulang beribu-ribu pelarian dan etnik Rohingya di sebalik kempen kebencian yang menyasarkan golongan migran.
Sebuah portal berita bebas terkemuka yang membuat liputan perkembangan di Myanmar melaporkan bahawa kumpulan berkenaan sebahagian daripada 1,476 orang yang dipulangkan di bawah program yang didakwa sebagai “penghantaran pulang secara sukarela” oleh kerajaan Malaysia.
Portal berita Democratic Voice of Burma (DVB) melaporkan sebaik tiba dengan tiga buah kapal tentera laut Myanmar di Pelabuhan Thilawa, Yangon pada 4 Oktober, mereka terus dibawa ke pusat tahanan di sebuah biara di Thanlyin, selatan Yangon, serta ke beberapa lokasi yang tidak didedahkan di Hlaingtharyar.
“Kami menyangka mereka akan dibenarkan pulang ke rumah sebaik sahaja tiba di Myanmar,” kata seorang ahli keluarga kepada salah seorang yang dihantar pulang, seperti dipetik oleh DVB.
“Mereka sudah pun menempuh pelbagai kesukaran dalam tahanan imigresen Malaysia dan sangat berharap dapat bersatu semula dengan keluarga secepat mungkin.”
Perkembangan itu berlaku di sebalik jaminan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, bahawa proses penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar tidak akan diteruskan sekiranya nyawa atau keselamatan mereka terancam.
Ratusan ribu warga Myanmar yang bertaburan di seluruh Asia Tenggara – termasuk etnik Muslim Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan – hidup dalam ketakutan kemungkinan dipaksa kembali ke tangan junta tentera yang tidak menghiraukan kecaman antarabangsa dan menyerang orang awam di Arakan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan krisis pelarian membabitkan Rohingya sebagai yang paling teruk di dunia.
Sejak 2016, kira-kira 200,000 pelarian Myanmar mencari perlindungan di Malaysia, termasuk kira-kira 130,000 penduduk Islam Rohingya.
Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, mereka menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian yang menyasarkan khalayak Melayu di Malaysia melalui video berunsur xenofobia yang dihasilkan AI untuk menaikkan kemarahan awam terhadap komuniti pelarian dan migran, yang disebarkan oleh bot serta akaun media sosial palsu, sebelum disusuli tindakan kumpulan vigilante yang turut menyasarkan wanita dan kanak-kanak.
Baca: Dari Myanmar ke Aceh, dan kini Malaysia - Taktik Israel cetus kebencian terhadap umat Islam Rohingya
Ahli politik di kedua-dua belah pihak bagaimanapun kebanyakannya berdiam diri terhadap kempen kebencian itu, bimbang akan tindak balas negatif daripada sebahagian segmen pengundi mereka.
Tekanan yang direkayasa dalam talian mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelarian, yang kemudian terserlah melalui pengumuman mengejut Anwar mengenai perjanjian dengan junta Myanmar untuk menghantar pulang beribu-ribu pelarian.
Selepas mengabaikan amaran kumpulan hak asasi dan menghantar pulang beribu-ribu pelarian ke Myanmar, Anwar kemudian mengalu-alukan pemimpin rejim Myanmar Min Aung Hlaing pada 8 Oktober, kali pertama kerajaan Malaysia meraikan lawatan rasmi seorang ketua negara yang dikehendaki atas tuduhan jenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Langkah tersebut merupakan pusingan U terhadap dasar yang diamalkan selama beberapa dekad untuk tidak mengiktiraf rejim Myanmar yang terkenal dengan penindasan rakyatnya.
Sebuah laporan penyiasatan yang diterbitkan oleh kumpulan hak asasi manusia Myanmar mendedahkan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia, termasuk yang berkait dengan kerajaan, dalam urus niaga membekalkan alat ganti pesawat serta perkhidmatan penyelenggaraan kepada tentera Myanmar.
Urus niaga itu berlaku meskipun junta Myanmar terus melancarkan serangan udara terhadap orang awam.
“Dengan secara sedar memberikan sokongan kepada tentera Myanmar ketika ia melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, syarikat-syarikat Malaysia ini boleh dianggap bersubahat dalam jenayah-jenayah tersebut,” menurut kenyataan Justice for Myanmar.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
