Perhatian kembali kepada pendirian Anwar mengenai Israel selepas Papagomo sekali lagi bebas tuduhan hasutan
Antara hujah pembelaan ialah dengan menyenaraikan kenyataan kontroversi perdana menteri yang tidak selari dengan dasar anti-Israel kerajaan.
Terkini
Keputusan mahkamah hari ini untuk membebaskan seorang pempengaruh politik yang menuduh pentadbiran Anwar Ibrahim bersikap pro-Israel dilihat mengembalikan perhatian terhadap pelbagai kenyataan dan tindak-tanduk perdana menteri yang mencetuskan kemarahan penyokong perjuangan Palestin, termasuk kenyataan-kenyataan kontroversi yang dipetik oleh pihak pembelaan.
Mahkamah Sesyen Klang menggugurkan tuduhan di bawah Akta Hasutan terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang terkenal dengan panggilan “Papagomo” dan “Sir Azri”.
Pertuduhan itu berkait dengan kenyataannya dalam satu video yang dikongsikan di Facebook pada November 2023, sebulan selepas bermulanya kempen genosida Israel di Gaza yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 100,000 orang awam Palestin.
Papagomo didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan, iaitu antara lain mengeluarkan “perkataan menghasut” yang boleh menimbulkan “kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan” atau “permusuhan antara kaum” – undang-undang era penjajah yang kerap digunakan terhadap pengkritik kerajaan sepanjang empat dekad lalu.
Dalam klip video yang dikongsi pada 8 November 2023, Papagomo berkata: “Guys, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang pro kepada Israel, pro kepada negara Barat. Bila kita tengok satu persatu yang dipertunjukkan kerajaan hari ini, membuktikan kita dalam keadaan yang merbahaya kerana kerajaan yang dipimpin oleh bapuk tua hari ini pro kepada Barat.”
Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, dan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Ia merupakan kali kedua mahkamah menggugurkan kes tersebut, selepas keputusan serupa pada September tahun lalu yang membebaskan Papagomo tanpa memerintahkan beliau membela diri.
Pada Julai, pihak pendakwaan berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi, yang mengarahkan Papagomo membela diri.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi, manakala Papagomo menjadi satu-satunya saksi dalam pembelaannya.
Antara lain, pembelaan memetik siri kenyataan yang pernah diucapkan Anwar dalam usaha menunjukkan tuduhan terhadap ahli politik itu adalah berasas.
“Ulasan beliau dalam video tersebut bukanlah satu hasutan atau rekaan kosong yang berniat jahat. Ia dibina di atas rentetan fakta sahih yang sedia ada dalam rekod rasmi dan laporan media antarabangsa,” menurut kenyataan pembelaan yang difailkan peguamnya, Rafique Rashid.
Antara lain, ia merujuk kepada Hansard Dewan Rakyat, laporan sebuah akhbar Israel yang menyambut baik pelantikan Anwar sebagai perdana menteri pada 2022, serta pendedahan e-mel yang menunjukkan partinya, PKR, adalah anggota sebuah gabungan antarabangsa yang pernah menyatakan sokongan kepada Israel.
Hansard tersebut merujuk perdebatan hangat di Dewan Rakyat pada 2012 berhubung wawancara Anwar dengan Wall Street Journal pada Januari tahun sama, di mana Anwar yang merupakan ketua pembangkang ketika itu dipetik sebagai berkata beliau akan “menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel”.
Pihak pembelaan turut memetik komen daripada seorang pengarang kanan akhbar Israel, Haaretz, di mana beliau menyifatkan berita pelantikan Anwar sebagai perdana menteri sebagai lembaran baharu dalam hubungan antara negara Zionis itu dengan Malaysia.
“Israel mengalu-alukan hubungan lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkinkah ini peluangnya?” tulis ketua editor Haaretz, Esther Solomon, di X, sekali gus mencetuskan semula pertikaian lama melibatkan dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi berkait Israel.
Pihak pembelaan seterusnya merujuk kepada pendedahan pada 2023 bahawa PKR yang dipimpin Anwar merupakan anggota Liberal International, sebuah pertubuhan berpangkalan di United Kingdom yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan simpati terhadap tindakan Israel di Gaza, pendedahan yang kemudiannya mengundang kecaman.
Menurut Papagomo, isu Palestin dan kekejaman Zionis adalah “amat sensitif dan dekat dengan hati nurani seluruh rakyat Malaysia”, dan oleh itu beliau berasa bertanggungjawab untuk “menunjukkan kesilapan atau kecacatan dalam kerajaan”, tindakan yang menurutnya dibenarkan oleh Akta Hasutan sendiri.
“Apabila seorang pemimpin nombor satu negara dikaitkan dengan entiti pro-Israel melalui bukti-bukti dokumentasi di atas, adalah menjadi tugas awam beliau sebagai rakyat untuk menegur,” menurut kenyataan pembelaan.
“Ucapan beliau adalah berniat baik agar pentadbiran negara tidak tersasar daripada dasar luar antikolonial yang asal.”
Pihak pembelaan turut mempertahankan penggunaan istilah “bapuk tua”, dengan menjelaskan ia jelas tidak ditujukan kepada kerajaan Malaysia, sebaliknya kepada Anwar, yang mempunyai “sejarah dan rekod sabitan jenayah lampau… [dan] pernah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan liwat”.
Pihak pembelaan seterusnya menafikan dakwaan yang sering menjadi teras kepada pertuduhan hasutan, iaitu bahawa kenyataan atau ucapan yang didakwa menghasut itu boleh menggugat keamanan.
“Sejak video ucapan tersebut dimuat naik dan dilihat sehinggalah ke hari ini, tidak wujud sebarang insiden rusuhan, demonstrasi jalanan, serangan fizikal mahupun sebarang ancaman keselamatan yang berlaku ke atas kerajaan Malaysia. Keadaan negara kekal aman dan berjalan seperti biasa.”
Tidak lama selepas tercetus perang di Gaza pada Oktober 2023, kerajaan Anwar melancarkan kempen menangkis naratif yang mendakwa pentadbirannya tidak setegas pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Kempen itu termasuk siri lawatan beliau ke luar negara untuk bertemu pemimpin Islam, di samping perhimpunan stadium yang dianjurkan secara tergesa-gesa dan dihadiri penjawat awam, di mana Anwar berulang kali diangkat sebagai tokoh yang menjuarakan perjuangan Palestin.
Pengkritik bagaimanapun melihat usaha menampilkan Anwar sebagai penyokong Palestin sebagai langkah “damage control” untuk memulihkan imej beliau yang tercalar susulan kenyataan kontroversi sebelum ini.
Namun, beberapa bulan kemudian, Anwar sekali lagi berdepan kecaman apabila beliau berkeras meneruskan rancangannya membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock – firma pelaburan Amerika Syarikat yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel – menyertai konsortium menguruskan lapangan terbang tempatan.
Pada November 2024, Anwar ketika ditemu bual CNN berkata beliau mengakui hak Israel untuk wujud dan “mempertahankan diri”, pendirian yang bercanggah dengan dasar Malaysia selama berdekad-dekad untuk tidak mengiktiraf entiti Zionis itu.
Tahun lalu, Anwar sekali lagi menolak kemarahan orang ramai dengan menjemput Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dua minggu selepas presiden AS itu berkunjung ke Israel bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Benjamin Netanyahu.
Ketika menyambut Trump, Anwar turut menari bersama beliau, dan beberapa jam kemudian menandatangani sebuah perjanjian yang mengundang kecaman pelbagai pihak, di mana Malaysia berjanji membuat pelaburan serta pembelian barangan AS bernilai AS$240 bilion, bersetuju memaklumkan Washington sebelum apa-apa perjanjian dengan negara lain, serta berjanji untuk tidak mengenakan kuota ke atas eksport mineral nadir bumi ke AS.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
