- Iklan -
Berita

Najib dibenarkan jalani baki hukuman penjara di rumah

Ia tertakluk kepada bekas perdana menteri itu membayar denda RM50 juta.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak.
Najib Razak.

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam mesyuarat hari ini.

Dalam kenyataan ringkas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda sebanyak RM50 juta.

"Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi manamana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara susulan sabitan kes SRC International.

Keputusan hari ini diumumkan lebih dua tahun selepas Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, di samping mengurangkan denda beliau daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tidak lama selepas itu, kontroversi tercetus ekoran pendedahan bahawa sejurus sebelum turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah mencatatkan nota tambahan, atau adendum, kepada keputusan pengampunan tersebut, yang memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan antara individu terawal membangkitkan isu adendum itu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain berulang kali menepis dakwaan mengenai kewujudan adendum berkenaan sambil menegaskan perkara itu hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.

Antara alasan Anwar ialah adendum itu tidak dapat dilaksanakan kerana Sultan Abdullah telah pun menamatkan tempoh pemerintahannya.

Susulan itu, Najib memohon semakan kehakiman bagi mendesak kerajaan melaksanakan adendum tersebut.

Najib mengemukakan permohonan pengampunan diraja baharu tahun ini, dengan Lembaga Pengampunan menangguhkan keputusannya pada 11 September.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ketika ini dipengerusikan Sultan Ibrahim, dan dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar serta tiga ahli yang dilantik.